KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menasihatkan rakyat supaya sentiasa menjaga kesihatan serta mengamalkan pemakaian pelitup muka susulan keadaan jerebu yang menyebabkan kualiti udara tidak sihat di beberapa kawasan negara.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di platform media sosial rasminya, Seri Paduka Baginda berdua bertitah keadaan, kualiti udara yang tidak sihat berpotensi menjejaskan kesihatan dan menyebabkan pelbagai masalah, khususnya berkaitan sistem pernafasan.
"Rakyat terutama warga emas, kanak-kanak, individu yang mempunyai masalah pernafasan serta mereka yang bekerja di luar dinasihatkan supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi melindungi diri daripada kesan pencemaran udara," titah baginda.
Baginda berdua turut menasihatkan orang ramai agar mengurangkan aktiviti luar, khususnya ketika bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Selain itu, rakyat disaran memastikan pengambilan air yang mencukupi, sentiasa mengikuti pengumuman rasmi pihak berkuasa serta memantau bacaan IPU harian bagi menjaga kesihatan dan keselamatan diri serta keluarga.
Baginda berdua berharap seluruh rakyat terus mengutamakan kesihatan dan mengambil langkah sewajarnya dalam menghadapi situasi jerebu yang sedang melanda negara.
Sebanyak 39 kawasan di seluruh negara mencatat bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat 8 malam Selasa.
Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS), Selangor mencatat enam kawasan pada tahap tidak sihat dengan Johan Setia merekodkan bacaan tertinggi itu iaitu 190 diikuti Shah Alam (174), Klang (169), Petaling Jaya (168), Banting (165) dan Kuala Selangor (163).