MALAYSIA
KPKT pastikan limpahan manfaat kestabilan ekonomi negara dinikmati rakyat - Nga

Nga berucap pada Majlis Perasmian AREC 2025 dan Pameran ARCHIDEX Ke-24 2025 hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memastikan segala limpahan manfaat daripada kestabilan ekonomi negara dapat dinikmati oleh rakyat menerusi perancangan yang lebih holistik, pendekatan menyeluruh dan pembangunan bandar yang berdaya huni serta mampan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kementerian itu komited untuk mempergiat dan memperkasakan usaha dalam memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan memberikan kesejahteraan dan keselesaan kepada rakyat.
Beliau berkata pengumuman bantuan rakyat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mencerminkan dasar yang berpijak di bumi nyata iaitu rakyat yang menjadi tulang belakang kejayaan negara tidak dilupakan, malah sentiasa dihargai.
"Segala pertumbuhan ekonomi, pelaburan bersejarah, pengukuhan mata wang serta peningkatan daya saing negara kini diterjemahkan secara langsung dalam bentuk manfaat yang menyentuh kehidupan seharian rakyat."Langkah-langkah ini bukan sekadar inisiatif bantuan, malah pengiktirafan terhadap keyakinan rakyat kepada kepimpinan Kerajaan MADANI dalam memperkasakan agenda pembaharuan negara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Nga berkata antara pengumuman yang disambut baik oleh KPKT termasuk pemberian Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 untuk semua rakyat 18 tahun ke atas menjelang Hari Kebangsaan, pengekalan kadar tol bagi 10 lebuh raya utama.
Selain itu, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, cuti umum tambahan sempena Hari Malaysia pada 15 September dan perluasan Jualan Rahmah MADANI dengan peruntukan yang digandakan kepada RM600 juta.
"KPKT yakin dengan semangat MADANI dan kesepaduan pelbagai pihak, Malaysia mampu mara sebagai sebuah negara maju yang bukan sahaja stabil dari segi ekonomi tetapi juga adil dan saksama semua," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami