JOHOR BAHRU: Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu melihat isu penyelenggaraan flat-flat awam yang daif dan uzur yang mencacatkan pemandangan, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata ini kerana masih terdapat banyak flat lama dan usang di negeri itu yang tidak diselenggara dengan baik.

"Ada flat yang mengalami kerosakan teruk dan akhirnya mengakibatkan beberapa penghuni kediaman tersebut dipindahkan atas faktor keselamatan.

"Banyak juga flat yang tidak menjaga kebersihan di kawasan sekitar sehingga mencacatkan pemandangan kawasan perumahan," katanya menerusi hantaran beliau di Facebook hari ini.

Onn Hafiz berkata KPKT juga perlu melihat dan menilai semula undang-undang serta bidang kuasa Pesuruhjaya Bangunan (COB) PBT dan Jawatankuasa Penduduk (JMB) terhadap pengurusan penyelenggaraan flat dan pangsapuri.

Menurutnya, kuasa COB pihak berkuasa tempatan (PBT) pada masa kini hanyalah memantau JMB dan tidak mempunyai kuasa untuk menyita unit kediaman yang tidak membuat bayaran yuran penyelenggaraan.

Justeru, beliau mencadangkan supaya KPKT memberikan kuasa kepada COB PBT, iaitu sama seperti kuasa sedia ada yang boleh menyita unit yang tidak menjelaskan bayaran cukai harta atau cukai pintu PBT.

"Sebagai contoh, Program Perumahan Rakyat Kempas, Denai kini berwajah baru selepas kerja baik pulih berjaya dilaksanakan. Ia meliputi kerja-kerja pembersihan sekitar bangunan, mengecat semula bangunan lama, penggantian 21 unit lif baru bagi tujuan keselamatan dan keselesaan penduduk," katanya.

Beliau turut mengharapkan agar KPKT dapat memandangkan serius isu dan cadangan yang dikemukakan serta mempertimbangkannya demi menjaga keselamatan, kemudahan dan keperluan rakyat.

-- BERNAMA