Skip to main content

Malaysia

KPKT sasar sifar projek perumahan terbengkalai menjelang 2030 - Nga

41763845543_NgaKorMing.jpg
Nga berkata pasukan petugas khas KPKT berjaya memulihkan 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM150 bilion. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan Malaysia bebas daripada projek perumahan sakit dan terbengkalai menjelang 2030 menerusi pelaksanaan Reformasi Perumahan MADANI serta beberapa pembaharuan bagi memperkukuh perlindungan pembeli rumah.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata pembaharuan itu merangkumi penambahbaikan Sistem Pengurusan Bersepadu Perumahan (HIMS), Perjanjian Jual Beli Elektronik (eSPA), Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) dan cadangan pelaksanaan mekanisme Pilihan untuk Membeli (OTP).

"Kementerian menetapkan visi menjelang 2030, Malaysia tidak akan lagi ada projek perumahan terbengkalai," katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Persidangan Hartanah ASEAN (AREC) 2026 dan Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan (ARCHIDEX) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, di sini hari ini.

Sehingga kini, Nga berkata pasukan petugas khas KPKT berjaya memulihkan 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara dengan nilai pembangunan kasar melebihi RM150 bilion.

Sementara itu, beliau berkata orang ramai yang mengunjungi AREC 2026 dan ARCHIDEX 2026 berpeluang menikmati diskaun 10 peratus bagi pembelian rumah terpilih menerusi kerjasama antara KPKT dan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA).

"Ini peluang keemasan untuk rakyat Malaysia memiliki rumah idaman mereka pada harga lebih mampu milik," katanya.

Nga berkata ARCHIDEX 2026 yang menghimpunkan 860 pempamer dengan keluasan pameran 39,000 meter persegi merupakan pameran seni bina, reka bentuk dalaman dan bahan binaan terbesar dalam sejarah Malaysia selain mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri persekitaran binaan dan pembangunan bandar.

Beliau berkata setakat ini Malaysia mempunyai kira-kira 46 juta meter persegi bangunan hijau dan KPKT sedang bekerjasama dengan University of Cambridge bagi membangunkan piawaian Indeks Bangunan Hijau yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata semua projek Program Residensi Rakyat (PRR) yang akan dibangunkan selepas ini turut dilengkapi elemen tenaga boleh baharu, sistem penuaian air hujan dan ciri-ciri hijau lain bagi menyokong agenda pembangunan mampan.

Mengenai isu banjir kilat, Nga berkata KPKT bersama pihak berkuasa tempatan berjaya mengurangkan sebanyak 10 peratus lokasi panas banjir di seluruh negara tahun lepas, dengan 128 kawasan kini diisytiharkan bebas banjir.

Terdahulu, Nga ketika berucap pada majlis itu berkata Malaysia telah melepasi sasaran di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), dengan lebih 511,000 unit rumah mampu milik diluluskan di seluruh negara.

Beliau berkata pencapaian itu membantu Malaysia mengekalkan kadar pemilikan rumah yang tertinggi di dunia iaitu kira-kira 77 peratus, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memudahkan rakyat memiliki rumah.

Nga berkata RMK13 juga akan memberi penekanan lebih besar terhadap penerapan prinsip pembangunan berorientasikan transit (TOD) dalam projek perumahan awam, bagi memastikan penduduk mendapat akses lebih baik kepada pengangkutan awam, hab pekerjaan, sekolah, kemudahan kesihatan dan pelbagai kemudahan asas lain.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement