KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mengeluarkan jadual baharu bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dalam masa terdekat, kata Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Beliau menerusi satu video yang dimuat naik di akaun Facebook Dr Radzi Jidin hari ini berkata KPM menerima banyak pandangan daripada ibu bapa dan calon SPM 2021 berkaitan jadual SPM 2021, yang telah dikeluarkan oleh KPM.

"Kami (KPM) mengambil kira semua pandangan yang diberikan dan saya telah duduk berbincang bersama Lembaga Peperiksaan dan pengurusan tertinggi KPM untuk melihat, mengambil tindakan sewajarnya, dan menganalisis satu persatu pandangan.

"Insya-Allah kita (KPM) akan keluarkan satu jadual baharu berkaitan SPM 2021 dalam masa yang terdekat," katanya dalam video berdurasi lebih satu minit itu.

Video yang turut dikongsi di akaun Facebook KPM itu mendapat komen positif daripada netizen yang menzahirkan terima kasih dan rasa syukur.

Radzi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada ibu bapa dan calon SPM 2021 yang telah memberi pandangan mereka berkaitan jadual peperiksaan SPM 2021 yang diumumkan sebelum ini.

KPM menerusi satu kenyataan pada 17 Nov lepas memaklumkan bahawa jadual waktu peperiksaan bagi SPM, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Ujian Pencapaian Bahasa Antarabangsa (UPBA) 2021 telah disediakan, dan boleh dimuat turun dari laman web rasmi Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my bermula tarikh tersebut.

Pengumuman jadual itu menerima pelbagai reaksi daripada ibu bapa dan pelajar. Media turut melaporkan terdapat pihak yang meminta jadual SPM 2021 yang akan berlangsung pada 3 hingga 20 Mac 2022 dikaji semula, terutama kertas peperiksaan yang diadakan pada hari Jumaat dan Ahad.

Ini memandangkan Jumaat merupakan hari umat Islam melaksanakan solat Jumaat, manakala Ahad ialah hari penganut Kristian ke gereja.

-- BERNAMA