SEREMBAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memastikan isu penggunaan produk penyedut hidung atau 'energy stick' dalam kalangan pelajar dapat dikawal.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ibu bapa dan pihak sekolah juga diharap mengambil perhatian berkenaan isu itu bagi memastikan anak-anak tidak terjebak dalam pengambilan bahan tersebut.

"Kita menyokong semua tindakan oleh KKM.

"Pada masa sama kita meminta ibu bapa dan pihak sekolah untuk turut ambil perhatian berkenaan isu ini.

"Kita mengambil pandangan semua pihak.

"Jadi kita akan bekerjasama dengan KKM untuk memastikan isu ini dapat dikawal dan akan ditangani sebaiknya di peringkat KPM," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata kepada pemberita selepas program Hari Perpaduan Silang Budaya dan Agihan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) Peringkat Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Kebangsaan Nilai Impian di sini pada Selasa.

Ujarnya, para pelajar dinasihatkan tidak mengambil bahan yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka dan memberi tumpuan kepada perkara yang lebih berfaedah.

Sebelum ini media melaporkan, penggunaan ‘energy stick’ atau penyedut hidung (nasal inhaler) telah meningkat dalam kalangan pelajar sekolah.

Public Health Malaysia menerusi hantaran di platform X kemudiannya mengeluarkan maklumat kepada masyarakat agar berwaspada dengan penggunaan bahan terbabit.

Menurutnya, produk jolok hidung dan sedut itu adalah terkini di pasaran dan dijual secara berleluasa dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10 sahaja.

Produk tersebut dipromosikan untuk memberi tenaga dan kesegaran kepada pengguna manakala sesetengah penjual menggunakan 'tagline', 'sedut dahulu, baru pergi sekolah' atau 'sedut dulu baru mulakan kerja'.

Ia bersaiz kecil sebesar pemetik api, berwarna-warni dan didatangkan dengan pelbagai perisa menarik serta mempunyai dua corong yang muat ke dalam lubang hidung yang boleh disedut masuk ke paru-paru.

Public Health Malaysia berkata, jika diperhatikan, pengambilannya sama seperti dadah iaitu kaedah melalui hidung atau 'snorting' dan secara psikologinya sangat negatif kerana menggalakkan pengguna untuk mencuba bahan lain. - Sinar Harian