Ringkasan AI
- Kementerian Pendidikan mempergiat Operasi Payung bagi memastikan calon SPM di kawasan berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan dengan selamat dan selesa.
- KPM bekerjasama dengan NADMA serta agensi berkaitan, dengan peruntukan lebih RM7 juta untuk memperbaiki prasarana sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara.
- Pasukan Sokongan Pintar dan Pasukan Sokongan Akademik disediakan untuk memberi sokongan minda sihat dan akademik kepada murid terjejas banjir sepanjang Monsun Timur Laut.
KUALA NERUS: Kementerian Pendidikan (KPM) mempergiat persiapan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) menerusi pelaksanaan Operasi Payung bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan berisiko banjir dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan selesa.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah) Datuk Zainal Abas berkata operasi berkenaan dilaksanakan setiap tahun itu bagi membantu calon SPM, khususnya di kawasan terjejas banjir.
“Sebagai contoh di Terengganu, bagi calon yang tinggal di kawasan pulau mereka akan dibawa ke tanah besar dan ditempatkan di sekolah berasrama penuh.
“Langkah itu bagi memastikan pelajar tidak perlu merentas laut yang bergelora ketika musim tengkujuh untuk sampai ke pusat peperiksaan dan guru yang menjadi petugas peperiksaan juga dapat menjalankan tanggungjawab lebih kondusif,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis “Terafecta Digital Luminaries Awards” anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus di sini hari ini.
Peperiksaan bertulis SPM 2026 dijadual berlangsung pada 23 Nov hingga 17 Dis ini, manakala MTL yang telah bermula pada 27 Okt lepas dijangka berterusan hingga Mac 2027.
Sementara itu, Zainal berkata KPM turut menyelaraskan persiapan bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) peringkat negeri dan daerah serta agensi berkaitan bagi membantu kawasan yang berisiko terjejas banjir, terutamanya membabitkan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata NADMA telah memperuntukkan lebih RM7 juta pada tahun ini bagi membantu KPM menyediakan prasarana yang lebih baik di PPS.
“Peruntukan itu meliputi kerja pembaikan tandas dan penyelenggaraan persekitaran sekolah bagi memastikan kemudahan berkenaan berada dalam keadaan baik untuk menerima mangsa banjir.
"Baru-baru ini, kami juga dimaklumkan bahawa NADMA akan menyalurkan tambahan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi membantu KPM dalam usaha pasca-MTL,” katanya.
Zainal berkata KPM turut bersedia menggerakkan Pasukan Sokongan Pintar (SST) yang terdiri daripada guru kaunseling bagi melaksanakan program sokongan minda sihat serta aktiviti untuk murid sekolah rendah.
Selain itu, katanya Pasukan Sokongan Akademik (AST) juga disediakan bagi membantu murid sekiranya berlaku banjir ketika musim persekolahan, termasuk memberikan sokongan akademik di kawasan penempatan mangsa banjir.
“Sekolah akan mula bercuti pada 5 Dis ini, namun sekiranya terdapat sekolah yang dilanda banjir sepanjang November pasukan berkenaan masih boleh digerakkan ke kawasan penempatan mangsa banjir bagi memberikan sokongan akademik, khususnya kepada calon peperiksaan,” katanya.
Beliau berharap segala langkah persediaan dan penyelarasan bersama NADMA, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri serta agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dapat dilaksanakan dengan lancar bagi menghadapi sebarang kemungkinan sepanjang MTL.
-- BERNAMA