KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu mempertimbangkan cadangan untuk penyelarasan semula peperiksaan-peperiksaan utama di Malaysia.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, pertimbangan harus dibuat memandangkan sesi pembelajaran tidak begitu sempurna sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, KPM juga perlu mendapatkan pandangan semua pihak dalam isu berkenaan.

“Saya kira dalam hal ini, KPM boleh mendapatkan pandangan daripada pemegang taruh pendidikan seperti persatuan guru, majlis guru besar dan pengetua serta ibu bapa dan guru.

BACA: Murid Pra Sekolah, Tahun 1 dan Tahun 2 hadir ke sekolah pada 1 Mac

“Ia perlu supaya mereka dapat maklumat sama ada penyelarasan ini perlu atau tidak. Apa pun, kita akur dengan keputusan KPM.

“Yang penting adalah keselamatan, kesihatan pelajar terjaga dan kita berharap supaya pelajar diberi peluang secukupnya dan bersedia untuk menghadapi peperiksan sekiranya diputuskan pada tarikh-tarikh tertentu,” katanya kepada Astro AWANI.


PdPR perlu diteruskan meskipun sekolah dibuka semula - Pakar

Begitupun, pandangan berbeza disuarakan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Mohd Alif Anas Md Noor.

“Bagi GPMS, kita rasa tidak perlu lagi jadual itu diubah dan sebagainya kerana ia akan merosakkan mood pelajar dan kedua, ia akan memberikan kesan kepada emosi, tumpuan pelajar untuk menduduki peperiksaan.

“Pelajar sekarang sudah sedia maklum tarikh-tarikh untuk mereka menduduki peperiksaan tapi bila dianjak hari atau waktu, ia sedikit sebanyak akan memberikan kesan emosi kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan,” ujarnya.

Tambahnya, jadual yang dikeluarkan sudah mengambil kira semua aspek termasuk dari sudut pelajar, guru dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sekarang.


Hari Pertama Sekolah | Tahap pematuhan SOP di sekolah tinggi