KUALA LUMPUR: Kekangan dan kesibukan dalam menjalankan tugas tidak menjadi penghalang kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk membantu seorang penunggang motosikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Salak dekat sini, pada Jumaat.

Gambar tular yang dikongsikan laman Friends of PDRM itu memaparkan Razarudin turun daripada kenderaan rasminya sebelum membantu mangsa kemalangan di lokasi kejadian berhampiran Taman Connaught.

Menurut hantaran itu, Razarudin dalam perjalanan pulang selepas selesai menjalani latihan menembak di Lapang Sasar Briged Tengah Pasukan Gerakan Am, Cheras.

"Selain daripada bantuan diberikan, beliau turut memberikan sedikit sumbangan kepada mangsa untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Anggota polis daripada Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik turut diarahkan untuk memberikan bantuan sewajarnya di lokasi kemalangan," tulis hantaran berkenaan.

Jelas hantaran tersebut, kepimpinan melalui teladan yang ditonjolkan oleh kepimpinan nombor satu Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu wajar menjadi contoh buat semua warga pasukan dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat. - Sinar Harian