Senjata api polis yang dilaporkan hilang menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012 tidaklah jatuh ke tangan penjenayah namun ianya berkemungkinan hilang disebabkan jatuh ke dalam laut dan sebagainya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata senjata api yang dilaporkan hilang itu dilengkapi dengan tanda pengenalan.

“Namun sehingga kini, berdasarkan laporan balistik kita, daripada 37 senjata api yang hilang itu, kita tidak mengesan bahawa senjata api ini pernah digunakan untuk tujuan jenayah,” kata Khalid kepada pemberita selepas perasmian Persidangan dan Pameran Peralatan Umum Polis dan Peralatan Khas di Putrajaya pagi tadi.

"Kehilangan ini tidak semestinya jatuh ke tangan penjenayah, tetapi boleh jadi ianya jatuh sewaktu berada atas bot dalam laut, boleh jadi jatuh dalam air dan tiada orang yang dapat," katanya lagi.

Namun begitu, angka yang dinyatakan oleh Khalid itu agak berbeza berbanding yang digariskan dalam laporan audit.

Laporan audit pula menyebut bahawa polis kehilangan 44 laras senjata api, 156 gari dan 29 kenderaan sementara Khalid pula berkata polis kehilangan 166 pasang gari serta 32 buah kenderaan yang terdiri daripada 3 buah kereta dan 29 biji motosikal.

Walau bagaimanapun, jenis senjata api yang dilaporkan hilang itu tidak dapat dipastikan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua menyifatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sebagai lemah akibat hilang gari, senjata api dan kenderaan seperti yang didedahkan dalam laporan Ketua Audit Negara 2012 yang diedarkan pada Selasa.

Tian Chua berkata jika peralatan dalam balai polis tidak boleh dijaga, macam mana rakyat mahu mengharapkan keselamatan mereka dijaga oleh PDRM.

Katanya, dengan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara itu, rakyat kini meragui kemampuan PDRM.

"Kalau barang keperluan sendiri yang ada dalam balai pun tak boleh jaga, macam mana rakyat nak harapkan polis jaga keselamatan mereka.

"Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana kehilangan senjata api merupakan satu perkara serius," katanya ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Tian Chua berkata satu tindakan tegas perlu diambil ekoran ketirisan yang berlaku dalam PDRM.

Laporan Ketua Audit Negara 2012 yang diedarkan pada Selasa mendedahkan PDRM kerugian berjumlah RM 1.33 juta akibat kehilangan gari, pistol dan kenderaan.