KUALA LUMPUR:Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) komited untuk memastikan semua pelajar institut pengajian tinggi (IPT)  dapat menjalani sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) dengan baik walau di mana sahaja mereka berada.

Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, ia termasuk inisiaitf mendapatkan tawaran terbaik daripada syarikat pembekal pelan data dan peranti.

Menurut beliau, inisiatif itu penting dalam usaha KPT menjayakan aspek ekuiti untuk semua pelajar mendapat hak pendidikan yang setara tanpa jurang antara bandar mahupun luar bandar.

"Sesungguhnya, akses kepada capaian internet sangat kritikal bagi membolehkan pelajar menjalani sesi  pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian dengan kondusif.

"Tidak dinafikan, pelajar perlu menanggung kos yang tinggi bagi melanggani pakej pelan data untuk
capaian internet tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, sejak pelancaran Pakej Pelan Data dan Peranti kepada pelajar-pelajar (IPT) daripada kategori B40 bersasar pada 30 Oktober 2020, sebanyak 195,028 pelan data dan 3,773 peranti telah diedarkan kepada pelajar-pelajar IPT berkenaan sehingga 31 Disember 2020.

Sementara itu, sebanyak 3,997 buah komputer riba dan desktop sedang dalam proses perolehan oleh KPT untuk diedarkan kepada para pelajar.

Inisiatif KPT juga termasuk mendapatkan tawaran terbaik daripada syarikat pembekal pelan data dan peranti seperti berikut:

KPT sedang mendapatkan tawaran terbaik daripada syarikat pembekal pelan data dan peranti. - Foto KPT

Tambah beliau, KPT juga telah mengadakan perbincangan dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk satu lagi inisiatif pinjaman kewangan di bawah Skim BSN MyRinggit-i COMSIS bagi pembelian komputer riba oleh pelajar IPT.

"KPT juga melalui Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) telah melancarkan satu inisiatif crowdfunding melalui Tabung Prihatin Siswa sebagai satu platform bagi mempelawa pihak luar bersama-sama dengan KPT dalam menyalurkan sumbangan untuk membantu meringankan kesulitan pelajar yang berkeperluan dalam meneruskan (PdP) tanpa kekangan," katanya.

Pihak-pihak yang ingin menyalurkan sumbangan mereka, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank 5660 1062 2566 atau melalui dalam talian dengan klik pautan di www.billplz.com/tabungsiswa.