MALAYSIA
KPT perjelas isu pelajar STPM tidak ditawarkan tempat di UM

Azlinda menjelaskan kegagalannya mendapat tempat di UM adalah disebabkan kapasiti yang amat terhad. - Gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan kenyataan seorang pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang mendakwa beliau tidak mendapat tempat dalam program perakaunan di Universiti Malaya (UM).
Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Datuk Dr Azlinda Azman menjelaskan bahawa pelajar berkenaan memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 dan markah kokurikulum 9.90, menjadikan merit keseluruhan sebanyak 99.90 peratus.
Namun, kedudukan ranking permohonannya dalam program tersebut berada di tangga ke-1,127 daripada 2,291 calon yang layak, sedangkan UM hanya menawarkan 85 tempat.
“Walaupun beliau memperoleh PNGK 4.00, kedudukannya masih jauh di belakang pemohon yang meraih merit penuh 100 peratus."Kegagalannya mendapat tempat di UM adalah disebabkan kapasiti yang amat terhad,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Azlinda turut menegaskan bahawa selaras dengan komitmen KPT, semua pelajar yang memperoleh PNGK 4.00 dijamin mendapat tempat pengajian.
Dalam kes ini, pelajar terbabit telah ditawarkan tempat di sebuah universiti penyelidikan terkemuka yang merupakan pilihan kelimanya.
Beliau menjelaskan bahawa keputusan UPUOnline dijana sepenuhnya oleh sistem berasaskan merit mengikut kursus yang dipohon.
“Sistem ini telah lama digunakan dan berjaya menempatkan jutaan pelajar ke universiti awam secara telus dan adil,” katanya.
Tambahnya, semua permohonan disaring mengikut merit tertinggi hingga terendah sebelum penawaran dibuat.
KPT juga terbuka menerima pandangan dan cadangan bagi penambahbaikan sistem tersebut.
Mengulas lanjut, Azlinda berkata kekeliruan timbul apabila pelajar berkenaan mendakwa menerima tawaran awal melalui saluran terbuka (SATU) UM sebelum keputusan rasmi UPUOnline diumumkan.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Datuk Seri Prof Dr Noor Azuan Abu Osman menafikan dakwaan tersebut dan menjelaskan bahawa pelajar berkenaan hanya membuat permohonan secara dalam talian pada 16 Julai lalu.
“Universiti hanya mengeluarkan pratawaran atau conditional offer, bukannya tawaran rasmi. Tawaran sebenar hanya dikeluarkan selepas tarikh rayuan UPUOnline selesai, mengikut merit dan ranking. Tidak wujud tawaran automatik seperti yang didakwa,” tegasnya.
Bagi membantu calon, KPT telah membuka kaunter konsultasi rayuan UPUOnline di Ruang Legar kementerian itu di Putrajaya sehingga 12 September ini.
Terdahulu, media melaporkan dakwaan MCA bahawa seorang pelajar cemerlang dengan PNGK 4.00 gagal mendapat tempat di UM.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami