KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan Program Penjanaan Pendapatan Wanita (WeJana) 2023 bagi membimbing wanita yang ingin menjana pendapatan melalui keusahawanan.

KPWKM dalam kenyataan hari ini berkata program itu juga bertujuan memantapkan lagi pengetahuan golongan itu menerusi latihan sistematik dalam memulakan perniagaan khususnya perniagaan dalam talian, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka.

"Peserta yang terpilih adalah peserta daripada Program Wanita Bangkit@KPWKM dan mereka akan diperkenalkan kepada Modul Program WeJana 2023 yang merangkumi empat aspek iaitu pengurusan kewangan, jualan dan pemasaran, penjenamaan perniagaan dan perkhidmatan pelanggan," menurut kenyataan itu.

Program WeJana 2023 dirasmikan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri di Kuching, Sarawak hari ini, yang turut dihadiri Ketua Pengarah JPW Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail.

Menurut kenyataan itu, WeJana menyasarkan peserta daripada kalangan suri rumah yang terlibat dalam penjagaan tanpa gaji supaya mereka dapat memperoleh pendapatan dan pada masa sama menjalankan tanggungjawab sebagai penjaga.

Menurut KPWKM, program pembangunan kapasiti meliputi elemen kemahiran melalui bimbingan dan latihan itu, mula dilaksanakan pada 2022 dan telah berjaya membantu meningkatkan pendapatan peserta purata sebanyak RM1,000 sebulan.

"WeJana merupakan sebahagian daripada usaha kementerian menyediakan ekosistem membantu usahawan wanita di bawah Wanita Bangkit yang dilaksanakan oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan penyediaan akses kepada latihan serta pembangunan kapasiti (menambah kemahiran dan latihan semula).

"Ini adalah kesinambungan program pemerkasaan wanita yang dilaksanakan secara strategik melalui agensi di bawah KPWKM bagi menjana pendapatan wanita dan berupaya berdikari," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA