KOTA BHARU: Kerajaan menerusi Kementerian Ekonomi sentiasa memantau pergerakan inflasi susulan perkembangan krisis di Asia Barat bagi memastikan tekanan kos akibat gangguan bekalan dan kenaikan harga komoditi tidak membebankan rakyat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah berkata, ini penting memandangkan perkembangan di Asia Barat boleh berubah dengan pantas dan berpotensi memberi kesan terhadap rantaian bekalan global serta harga komoditi.
Pada masa sama, kerajaan turut bertindak memastikan bekalan negara, khususnya komoditi strategik seperti minyak adalah mencukupi sehingga akhir tahun ini selain mengambil langkah bersesuaian bagi membendung kesan krisis terhadap ekonomi domestik.
“(Apa yang penting) bagi kita adalah untuk memastikan bekalan kepada negara sehingga hujung tahun ini terus terjamin dan kita sentiasa memantau dari pelbagai segi.
“Bukan setakat bekalan minyak dapat bertahan sehingga hujung tahun, tetapi kita turut memantau pergerakan inflasi barang-barang agar tekanan kepada masyarakat itu tidak dirasai secara keseluruhan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Kelantan, di sini, malam tadi.
Mohd Shahar berkata, perkembangan konflik Asia Barat yang sukar diramalkan juga menyukarkan kerajaan untuk menentukan sama ada keadaan krisis itu akan bertambah baik atau sebaliknya.
Namun, tegasnya, kerajaan tidak menunggu krisis mereda, sebaliknya, sentiasa bersiap sedia menghadapi pelbagai kemungkinan bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan.
“Kita melakukan pemantauan setiap hari, malah ada (laman sesawang khusus) Papan Pemuka atau Dashboard Pantau Krisis. Kita juga berkomunikasi dengan rakyat melaluinya yang memberikan maklumat terperinci berkaitan apa yang sudah berlaku.
“Keadaan krisis ini sangat cepat berubah dan apa yang kita lakukan adalah untuk memastikan ekonomi kita berdaya tahan serta memastikan apa sahaja inisiatif dibuat adalah tepat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata, prestasi ekonomi semasa negara yang mencatat pertumbuhan lebih baik daripada jangkaan juga tidak seharusnya menjadikan kerajaan berasa selesa, sebaliknya perlu memastikan pemantauan dan libat urus berterusan dengan pelbagai pihak.
Pendekatan itu penting bagi memastikan sebarang tekanan luaran dapat ditangani dengan segera tanpa memberi kesan berlebihan kepada rakyat dan ekonomi domestik, kata Mohd Shahar.
-- BERNAMA