Skip to main content

Malaysia

Krisis Asia Barat ubah haluan pelancong Malaysia, Asia Timur jadi pilihan utama

[TB]_Pelancongan Global_Astro Awani
Pengurus Jualan dan Pemasaran Amar Travels Sdn Bhd, Nik A. Farez Nik Ali (kiri) dan Pengarah Urusan Salam Vacation (M) Sdn Bhd, Mazlan Awang (kanan) berkata, sejak krisis Asia Barat meletus ada 7 Oktober 2023, industri pelancongan mula mengubah strategi dengan memberi tumpuan kepada pakej lawatan ke negara-negara di rantau Orient (Asia Timur) dan Asia Tengah sebagai destinasi alternatif. - Foto fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sejak krisis Asia Barat meletus ada 7 Oktober 2023, industri pelancongan mula mengubah strategi dengan memberi tumpuan kepada pakej lawatan ke negara-negara di rantau Orient (Asia Timur) dan Asia Tengah sebagai destinasi alternatif.

Peralihan itu dibuat susulan ketidaktentuan keadaan keselamatan di Asia Barat, khususnya akibat konflik yang melibatkan Iran dan beberapa negara berjiran.

Pengurus Jualan dan Pemasaran Amar Travels Sdn Bhd, Nik A. Farez Nik Ali, berkata walaupun konflik berkenaan menjejaskan perancangan awal banyak agensi pelancongan, minat orang ramai untuk melancong kekal tinggi dengan mereka beralih kepada destinasi yang lebih selamat dan stabil.

“Destinasi pilihan kini tertumpu kepada negara-negara seperti Jepun, Korea, China, Taiwan dan Hong Kong.

“Selain itu, terdapat trend peningkatan bagi destinasi ke negara-negara ‘Stan’ seperti Uzbekistan dan Tajikistan sebagai pilihan alternatif buat masa ini,” kata beliau kepada Astro AWANI.

Menurutnya, walaupun terdapat permintaan tinggi ke negara beriklim sejuk seperti Australia dan New Zealand, namun kekangan kos akibat pertukaran mata wang yang tinggi serta isu melibatkan imigresen  menyebabkan pelancong memilih alternatif ke Asia Timur.

Mengulas mengenai kebimbangan keselamatan susulan penutupan ruang udara di beberapa negara bergolak sebelum ini, beliau menasihatkan bakal pelancong agar tidak panik dan hanya merujuk kepada sumber maklumat yang sah.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengambil maklumat hanya daripada sumber rasmi seperti kerajaan negara yang ingin dilawati serta syarikat penerbangan yang dipilih. 

"Selagi pihak berkuasa penerbangan awam (CAA) tidak mengarahkan pembatalan penerbangan, ia bermakna ruang udara tersebut masih dijamin selamat untuk dilalui.

“Syarikat penerbangan tidak akan mempertaruhkan keselamatan semua pihak jika keadaan benar-benar berbahaya. Sebagai contoh, walaupun berlaku pergolakan di negara teluk, operasi penerbangan untuk ibadah Umrah dan Haji (baru-baru ini) masih diteruskan seperti biasa kerana jaminan keselamatan yang diberikan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, Pengarah urusan Salam Vacation (M) Sdn Bhd, Mazlan Awang berkata, perubahan corak pelancongan mula ketara dalam kalangan rakyat Malaysia sejak konflik tercetus krisis Asia Barat apabila ramai pelancong beralih daripada destinasi Eropah kepada negara-negara Asia Timur seperti China, Korea Selatan dan Jepun.

“Sejak krisis ini berlaku, saya melihat kebanyakan pelancong Malaysia mengubah laluan percutian mereka daripada Eropah kepada destinasi di Timur Jepun, Korea dan China menjadi antara pilihan utama kerana dianggap lebih stabil dan menawarkan nilai yang lebih baik kepada pelancong ketika ini,” katanya.

Menurut beliau, Salam Vacation yang berpengkalan di Tokyo dan Kuala Lumpur turut menerima tempias daripada perubahan landskap pelancongan global susulan konflik berkenaan.

“Sebelum ini, kebanyakan rangkaian ejen kami terdiri daripada syarikat pelancongan dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. 

"Namun selepas krisis ini, kami mula menerima lebih banyak permintaan dan kerjasama daripada ejen pelancongan baharu dari India, Turkiye, Arab Saudi, selain negara-negara Eropah seperti Jerman dan Belanda serta Kanada,” katanya.

Mazlan turut memaklumkan, perkembangan itu menunjukkan industri pelancongan antarabangsa sedang menyesuaikan strategi masing-masing dengan memberi tumpuan kepada destinasi yang dianggap lebih selamat dan mudah diakses dalam keadaan ketidaktentuan geopolitik semasa.
 

Must Watch Video

Advertisement