Skip to main content

Malaysia

Krisis bekalan global: Kerajaan perhebat Jualan Rahmah MADANI, sasar 30,000 program tahun ini

KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Orang ramai membeli barangan keperluan sebagai persiapan menyambut bulan Ramadan ketika tinjauan foto Bernama di Pasar Chow Kit hari ini.  Umat Islam di Malaysia dijangka mula menunaikan ibadah puasa pada Feb 19, bersamaan 1 Ramadan 1447 Hijrah.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Kerajaan akan mempergiat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI sebagai antara langkah utama mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat, kata PM Anwar. - Gambar hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan akan mempergiat pelaksanaan Program Jualan Rahmah MADANI sebagai antara langkah utama mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, program kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu terbukti berkesan dalam menawarkan barangan keperluan pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

Tambah beliau, barangan yang dijual menerusi program berkenaan mencatatkan pengurangan harga antara lima hingga 30 peratus, bergantung kepada jenis barangan dan lokasi.

"Untuk tahun lalu lebih 25,000 Program Jualan Rahmah telah dilaksanakan melibatkan semua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara. Bagi 2026, kerajaan mengumumkan 30,000 Jualan Rahmah, melibatkan semua DUN dan diadakan secara mingguan dengan jadual tetap.

“Selain bandar dan pinggir bandar, program ini turut diperluaskan ke kawasan desa dan kampung terpilih, dengan keutamaan diberikan kepada penyertaan peniaga kecil dan tidak dimonopoli syarikat besar, bagi memastikan manfaat terus dinikmati rakyat serta peniaga tempatan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Krisis Bekalan Global yang disiarkan pada Selasa.

Dalam pada itu, Anwar berkata Mesyuarat Jemaah Menteri akan terus meneliti serta mencari beberapa ikhtiar baharu bagi mengurangkan beban kos sara hidup yang ditanggung rakyat.

Must Watch Video