Skip to main content

Malaysia

Krisis bekalan global: Kos baja, racun pertanian melambung, sektor agrokomoditi tanggung beban

KUALA LUMPUR, 9 April -- Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir ditemui media sebelum menghadiri program Ruang Bicara bertajuk Mendepani Krisis Tenaga Global: Ikhtiar Perkukuh Ketahanan Ekonomi di Wisma Bernama malam ini._BERNAMA
Akmal berkata kerajaan memperkenalkan beberapa langkah mitigasi bagi melindungi pendapatan pekebun kecil dan mengurangkan tekanan kos terhadap industri agrokomoditi. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Industri agrokomoditi negara berdepan cabaran, antaranya harga input pertanian seperti baja NPK bagi kategori tempatan dan import meningkat sehingga 45.5 peratus, manakala racun pula melonjak kepada 37.5 peratus.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata aspek logistik turut memberi kesan, iaitu peningkatan kos penghantaran ke Asia Barat antara 50 hingga 80 peratus, manakala premium risiko perang meningkat sehingga tiga peratus.  

"Kos operasi perladangan dan jentera meningkat antara 10 hingga 30 peratus, termasuk kos penanaman semula getah yang melonjak sehingga 55 peratus. 

"Kos pengeluaran oleokimia sawit juga meningkat sehingga 30 peratus,” jelasnya ketika Taklimat Krisis Bekalan Global, pada Isnin.

Susulan itu, kerajaan memperkenalkan beberapa langkah mitigasi bagi melindungi pendapatan pekebun kecil dan mengurangkan tekanan kos terhadap industri. 

"Antara langkah dilaksanakan termasuk pemantauan kos operasi loji dan pengoptimuman kos pengeluaran, selain penyaluran Bantuan BUDI Agri-Komoditi bagi meringankan beban kos input.  

"Kerajaan turut menyelaras pembelian pukal baja dan racun melalui agensi pusat bagi mendapatkan harga lebih rendah untuk petani.  

“Kerajaan juga menyediakan bantuan logistik dengan memberi kemudahan pembayaran balik levi dan ses eksport bagi kargo yang terpaksa dipulangkan semula untuk mengurangkan kerugian pengusaha,” katanya.  

Seterusnya, penggunaan baja organik sebagai alternatif kepada baja kimia import yang mahal turut diperluaskan, selain penggunaan teknologi pemetaan baja Soil Nutrient Probe (SNP) dalam penanaman koko dan lada.  

Dalam pada itu, Akmal berkata Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut bersetuju supaya rantaian logistik sektor agrokomoditi ditambah baik melalui kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).  

“Fokusnya adalah supaya tindakan ini dapat melindungi secara keseluruhan merangkumi pengeluaran, pekebun kecil, kestabilan bekalan dan daya saing eksport negara,” kata Akmal.

Must Watch Video

Advertisement