KUALA LUMPUR: Kritikan lantang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap negara-negara Barat kerana tidak bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza semasa lawatan rasmi beliau ke Jerman baru-baru ini menjadi peringatan bukan sahaja di Eropah tetapi juga di Atlantik Utara, termasuk Amerika Syarikat.

Timbalan Pengarah Eksekutif Institut Asia Eropah (AEI) Universiti Malaya Prof Madya Roy Anthony Rogers berkata gesaan Anwar tepat pada masanya kerana pemimpin Barat yang memperjuangkan hak asasi manusia, dilihat bersatu mengutuk Rusia dalam konflik Rusia-Ukraine tetapi mempamerkan dikotomi ketika menangani isu Palestin-Israel.

"Barat perlu berwaspada, memberikan pandangan yang adil dan mengambil tindakan ke atas Gaza. Krisis di Gaza telah berlarutan tujuh dekad yang lalu," kata beliau dalam temu bual menerusi aplikasi Zoom dalam program Bernama World bersama pengacara Melissa Ong, terbitan Bernama TV pada Isnin.

Anwar mendapat perhatian antarabangsa apabila mengkritik negara-negara Barat semasa sidang media bersama Canselor Jerman Olaf Scholz di Berlin pada 11 Mac semasa lawatan rasmi enam hari ke Jerman kerana kegagalan mereka bertindak terhadap kekejaman Israel di Gaza.

Anwar mempersoalkan kemanusiaan Barat dan mengutuk sikap "selektif" dan "ambivalen" mereka terhadap konflik itu.

Kritikan Anwar terhadap kurangnya tindakan negara Barat terhadap kekejaman Israel di Gaza meraih sokongan individu berpengaruh dalam pelbagai bidang di seluruh dunia.

Roy Anthony menekankan bahawa pendirian Anwar menunjukkan Malaysia, yang bukan sebuah negara besar walaupun di Asia Tenggara, sanggup dan berani untuk membuat sesuatu tanpa rasa takut atau pilih kasih, walaupun di tengah-tengah Eropah, seperti di Jerman.

"Kritikan Anwar terhadap Barat dalam isu Gaza juga menyerlahkan sokongan konsisten Malaysia terhadap perjuangan Palestin sejak 1967, satu amalan yang ditegakkan oleh pelbagai pentadbiran di negara ini," katanya.

Roy Anthony menekankan bahawa dasar luar Malaysia secara konsisten menentang pendudukan, menentang keras Dasar Apartheid di Afrika Selatan dan pembersihan etnik di Bosnia pada 1990-an.

Roy Anthony ketika menjadi tetamu dalam satu lagi program Bernama TV iaitu Ruang Bicara berkata kejayaan lawatan Anwar ke Jerman baru-baru ini akan mengukuhkan lagi hubungan kerajaan dengan kerajaan (G2G) dan juga hubungan "people-to-people" (P2P) antara kedua-dua negara.

Beliau berkata pelbagai sektor seperti ekonomi, pendidikan dan pelancongan dilihat bakal menerima tempias positif hasil hubungan erat itu.

"Dari segi pelaburan beberapa syarikat Jerman yang memang kita kenali seperti Siemens, Bosch dan Volkswagen sudah ada di sini dan melabur, mereka kongsi kepakaran di samping menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

"Kita perlu bersedia untuk menerima kemasukan pelaburan dari Jerman susulan kejayaan lawatan oleh Perdana Menteri itu. Tindakan ini baik kerana ia mempelbagaikan pelaburan asing daripada kita hanya bergantung kepada negara tertentu sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, Roy Anthony berkata berdasarkan reaksi positif yang diberikan pemimpin industri dan perniagaan Jerman yang menyertai mesyuarat meja bulat dengan Perdana Menteri juga menunjukkan keyakinan mereka terhadap potensi yang ditawarkan negara.

"Lawatan tersebut memberi keyakinan kepada pelabur Jerman untuk melabur di sini. Ia merupakan satu tanda positif malah Malaysia boleh menjadi penghubung kepada Jerman dengan negara Asia Timur kerana kita mempunyai hubungan yang erat dengan China," katanya.

-- BERNAMA