Skip to main content

Malaysia

KTMB catat pertumbuhan kukuh pada separuh pertama 2026, hasil meningkat kepada RM296 juta

71765529535_TBets.jpg
Pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh prestasi cemerlang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang mencatatkan peningkatan 55 peratus penumpang. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) merekodkan 13.2 juta penumpang pada separuh pertama 2026, meningkat sebanyak lapan peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata peningkatan itu turut menyumbang kepada hasil keseluruhan pendapatan syarikat daripada RM206 juta kepada RM296 juta.

Beliau berkata pertumbuhan itu didorong terutamanya oleh prestasi cemerlang Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang mencatatkan peningkatan 55 peratus penumpang, iaitu daripada dua juta kepada 3.1 juta, selain perkhidmatan Intercity dengan 2.1 juta penumpang.

“Prestasi ini mencerminkan pemulihan perkhidmatan penumpang yang kukuh serta komitmen KTMB untuk terus menambah baik kebolehpercayaan dan pengalaman perjalanan pelanggan,” katanya pada sesi Meet the Editor di sini hari ini. 

Sesi itu turut dihadiri Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj.

Azlan Shah berkata perkhidmatan KTM Komuter masih berhadapan cabaran apabila jumlah penumpang menurun empat peratus dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata penurunan itu berpunca daripada gangguan operasi susulan penutupan satu landasan di sektor Salak Selatan-Seremban dan Pelabuhan Klang-KL Sentral bagi pelaksanaan Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2), sekali gus menjejaskan keyakinan pengguna dan hasil tambang.

Dalam pada itu, Azlan Shah berkata segmen kargo turut mencatatkan prestasi positif apabila jumlah muatan meningkat kepada 887,000 tan berbanding 724,000 tan dalam tempoh sama tahun lepas, manakala pengendalian kontena bertambah kepada 120,000 TEU daripada 108,000 TEU.

Beliau berkata pertumbuhan operasi itu menyumbang kepada peningkatan hasil sebanyak 12 peratus kepada RM61.2 juta berbanding RM54.7 juta sebelumnya, selain pergerakan kargo menerusi inisiatif Road-to-Rail meningkat 16 peratus kepada 85,000 daripada 73,000.

“Prestasi ini membuktikan sektor logistik rel mempunyai potensi besar untuk terus berkembang, manakala Agenda Road-to-Rail bukan sahaja meningkatkan kecekapan logistik, malah mampu mengurangkan kesesakan jalan raya, risiko kemalangan dan pelepasan karbon,” katanya.

Mengenai pertumbuhan perkhidmatan penumpang, Azlan Shah berkata hal itu dipacu oleh strategi memperkukuh rangkaian utara-selatan serta penambahan kapasiti perkhidmatan.

Beliau berkata sejak diperkenalkan pada Disember 2025, perkhidmatan terus ETS KL Sentral-JB Sentral merekodkan lebih 638,445 penumpang hingga 30 Jun lepas, selain penerimaan 10 set ETS baharu membolehkan kekerapan perkhidmatan ditingkatkan daripada 22 kepada 44 perjalanan sehari.

Selain itu, Shuttle Selatan yang menawarkan 14 perjalanan sehari menghubungkan Kulai, Kempas Baru, JB Sentral dan Pasir Gudang merekodkan lebih 2,712 penumpang setakat 26 Jun, manakala perkhidmatan EMU Plus bagi laluan Klang-KL Sentral-Ipoh telah membawa 42,801 penumpang hingga Jun lepas.

Dari aspek operasi, Azlan Shah berkata KTMB berjaya mengurangkan jumlah gangguan operasi sebanyak 27 peratus kepada 1,085 kes bagi tempoh Januari hingga Jun berbanding 1,494 kes dalam tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah minit gangguan turut menurun 40 peratus kepada 113,431 minit daripada 188,525 minit, mencerminkan keberkesanan usaha berterusan syarikat dalam meningkatkan kebolehpercayaan rangkaian dan prestasi operasi.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran utama yang masih menjejaskan ketepatan masa perkhidmatan kini lebih banyak berpunca daripada kecurian kabel, gangguan pihak ketiga serta faktor luaran seperti banjir, pokok tumbang dan kerja utiliti berhampiran landasan.

“KTMB akan terus memperkukuh pemantauan aset, meningkatkan kerjasama dengan pihak berkuasa, mempercepat naik taraf sistem isyarat menerusi KVDT serta memperkukuh kesiapsiagaan operasi bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat, boleh dipercayai dan menepati masa,” katanya.

Azlan Shah berkata bagi memperkukuh kapasiti perkhidmatan KTM Komuter, pihaknya akan menerima 12 set tren baharu dengan set pertama dalam bentuk Completely Knocked Down (CKD) akan diterima pada Ogos dengan jangkaan dibawa ke dalam perkhidmatan pada Februari tahun depan.

Beliau berkata set komuter baharu yang akan ditempatkan bagi perkhidmatan KTM Komuter Utara itu perlu melalui pengujian teknikal, pentauliahan, pensijilan keselamatan serta ujian percubaan bagi memenuhi semua standard operasi dan keselamatan sebelum beroperasi.

“Proses ini lazimnya mengambil tempoh agak lama sejajar dengan komitmen KTMB untuk memastikan setiap tren yang beroperasi adalah selamat, boleh dipercayai dan memberikan pengalaman perjalanan terbaik kepada penumpang,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement