KUALA LUMPUR: Bersempena sambutan Deepavali yang bakal diraikan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) mengadakan kunjungan mesra ke Astro Holdings Berhad sebagai tanda penghargaan dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan warga media.
Kunjungan itu turut menjadi platform memperkukuh hubungan strategik antara KTMB dan organisasi media, khususnya dalam memastikan hubungan komunikasi serta kerjasama yang terjalin terus dipelihara.
Delegasi KTMB diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Azlan Shah Al Bakri, bersama Pengurus Besar Komunikasi Strategik, Norsida Taslim Duka.
Turut menyertai kunjungan itu ialah Pengurus Kanan Komunikasi Strategik, Nurul Asyura Abdul Rahman dan Pengurus Komunikasi Strategik, Mohammad Adil Aizuddin Mohd Yusof.
Ketibaan delegasi KTMB disambut warga Astro yang mewakili Astro AWANI, Astro Audio, Indian Customer Business dan RAAGA.
Sepanjang kunjungan itu, kedua-dua pihak berpeluang beramah mesra serta bertukar pandangan dalam suasana santai, sekali gus mengeratkan hubungan antara KTMB dan warga Astro.
Dalam kunjungan itu, delegasi KTMB turut menyampaikan bungkusan Deepavali kepada warga kerja berbangsa India di Astro sebagai tanda ingatan dan penghargaan sempena perayaan berkenaan.
Pada masa sama, sempena sambutan Deepavali tahun ini, KTMB turut mengetengahkan sejarah dan sumbangan komuniti India dalam pembangunan industri perkeretaapian negara menerusi kempen dan video khas Deepavali 2026 bertemakan Warisan Besi, Jiwa Sebuah Bangsa berjudul Cahaya 2 Jiwa.
Mengambil semangat Deepavali yang sinonim dengan cahaya dan harapan, video berkenaan mengangkat kisah perjuangan, pengorbanan serta jasa generasi terdahulu, khususnya ribuan pekerja India yang mencurahkan tenaga, kemahiran dan dedikasi dalam membina serta membangunkan jaringan kereta api di Malaysia.
Ia turut membawa penonton menelusuri sejarah perkhidmatan kereta api sejak era Federated Malay States Railways, termasuk peranan Sentul, Kuala Lumpur yang pernah dikenali sebagai Little India dan menjadi penempatan ramai pekerja India yang berkhidmat di depoh kereta api.
Kehidupan komuniti berkenaan begitu dekat dengan operasi perkeretaapian, dengan kemahiran pekerja di dalam bidang kejuruteraan dan penyelenggaraan dalam membantu memastikan perkhidmatan kereta api terus beroperasi.