KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menyasarkan peningkatan ketara dalam prestasi ketepatan masa (OTP) sebagai sasaran jangka pendek utama syarikat bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan kereta api negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata analisa pihaknya mendapati cabaran utama yang memberi kesan kepada ketepatan masa tren bukan lagi berpunca daripada keadaan aset semata-mata, tetapi semakin dipengaruhi oleh kecurian kabel dan gangguan pihak ketiga.
Beliau berkata kedua-dua faktor itu serta bencana banjir, pokok tumbang dan kerja-kerja utiliti berhampiran landasan bukan sahaja menyebabkan kelewatan perkhidmatan, malah turut memberi implikasi kepada kebolehpercayaan rangkaian rel secara keseluruhan.
“Sebagai langkah pencegahan, KTMB akan terus memperkukuh pemantauan aset, meningkatkan kerjasama bersama pihak berkuasa serta memperketatkan kawalan terhadap aktiviti pihak ketiga yang dijalankan berhampiran landasan.
“KTMB juga akan terus memberi fokus kepada pembaharuan aset, meningkatkan kesiapsiagaan operasi serta memperkukuh kerjasama dengan pihak berkepentingan bagi memastikan perkhidmatan yang lebih selamat, boleh dipercayai dan menepati masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi “Meet the Editor” yang turut dihadiri Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Arul Rajoo Durar Raj, di sini, pada Khamis.
Azlan Shah berkata selain meningkatkan OTP, KTMB turut memberi tumpuan kepada pertumbuhan jumlah penumpang, penambahbaikan mutu perkhidmatan serta memastikan perkhidmatan tren menjadi pilihan yang benar-benar dipercayai dan boleh diharapkan.
"Matlamat utama saya ialah melihat peningkatan yang signifikan dalam prestasi ketepatan masa. Selain itu, kita mahu melihat lonjakan jumlah penumpang, perkhidmatan yang lebih baik dan yang paling penting, tren KTMB dikenali sebagai perkhidmatan yang amat dipercayai," katanya.
Beliau berkata KTMB komited menyediakan pengalaman perjalanan terbaik kepada rakyat dan pelanggan melalui pelbagai penambahbaikan, termasuk mempertingkatkan kualiti makanan dan minuman di dalam Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS).
Azlan Shah berkata kerjasama strategik dengan Santan Restaurant telah berjaya memperkenalkan pilihan menu baharu yang menerima maklum balas positif daripada pelanggan.
"Maklum balas yang saya terima amat menggalakkan. Pelanggan memberi 'thumbs up' (isyarat tanda bagus) terhadap makanan yang disediakan," katanya.
Bagi memperkayakan lagi pilihan hidangan, KTMB kini bekerjasama dengan Kluang Coffee untuk menawarkan minuman kepada penumpang, manakala fasa pertama kerjasama dengan Oriental Coffee sedang dilaksanakan untuk memperkenalkan minuman jenama itu dalam ETS.
Beliau berkata pada fasa kedua pula, KTMB bercadang berbincang dengan Oriental Coffee bagi membawa masuk hidangan makanan syarikat itu ke dalam perkhidmatan ETS.
Azlan Shah berkata beliau turut membuka peluang kepada pasukan pengurusan untuk menjalinkan kerjasama dengan pengusaha makanan tempatan yang terkenal bagi menyediakan hidangan kepada penumpang.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata KTMB turut memberi fokus besar kepada peningkatan pendapatan bukan tambang sebagai strategi memperkukuh kemampanan kewangan syarikat.
Beliau berkata ketika ini sumbangan pendapatan bukan tambang masih di bawah 10 peratus daripada keseluruhan pendapatan KTMB, namun beliau menyasarkan angka itu ditingkatkan kepada lebih 20 peratus bagi memastikan pertumbuhan KTMB kekal mampan.
Azlan Shah berkata antara sumber pertumbuhan pendapatan bukan tambang ialah perkhidmatan kejuruteraan, penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), pengurusan fasiliti serta kerja-kerja baik pulih (overhaul) yang mampu menjana nilai tambah kepada syarikat.
-- BERNAMA