KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) melanjutkan jadual perjalanan perkhidmatan komuter sektor Lembah Klang laluan Batu Caves ke Pulau Sebang, Melaka dan sebaliknya sebagai usaha penambahbaikan perkhidmatan.

KTMB dalam kenyataannya memaklumkan pelanjutan berkenaan membabitkan lapan perjalanan sedia ada di laluan tersebut pada waktu puncak, hari bekerja, hari minggu dan kelepasan am bagi memenuhi keperluan dan permintaan penumpang.

Bagi perkhidmatan kepada pengguna di sektor Lembah Klang, pelanjutan membabitkan empat perjalanan sehingga ke Stesen Pulau Sebang berbanding sebelum ini yang tamat di Stesen Sungai Gadut, Negeri Sembilan dan bagi laluan Pulau Sebang ke Batu Caves pula, empat perjalanan akan bermula dari Stesen Pulau Sebang, yang sebelum ini hanya dimulakan dari Stesen Sungai Gadut.

"Jadual waktu terkini untuk laluan berkenaan akan berkuat kuasa pada 25 Julai," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, bagi perkhidmatan komuter bagi sektor utara membabitkan laluan Padang Besar- Butterworth-Padang Besar dan Padang Rengas-Butterworth-Padang Rengas, turut ditingkatkan perkhidmatannya.

"Dua perkhidmatan tren ditambah bagi laluan Padang Besar ke Butterworth dan sebaliknya, menjadikan sebanyak 26 perkhidmatan beroperasi berbanding 24 perkhidmatan sebelum ini. Laluan Padang Rengas ke Butterworth dan sebaliknya juga turut ditambah dua perkhidmatan menjadikan jumlah keseluruhannya sebanyak 12 perkhidmatan berbanding 10 perkhidmatan pada masa ini," menurut kenyataan itu.

KTMB berharap penambahbaikan perkhidmatan komuter dapat memberi manfaat kepada semua pengguna termasuk pelancong yang menggunakan laluan Padang Besar-Hatyai sekali gus menjadikan ia mod pengangkutan utama.

Bagi mendapatkan jadual perjalanan terkini, penumpang disaran memuat turun aplikasi MyRailtime atau melayari laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my atau menghubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-22671200.

-- BERNAMA