KUALA KUBU BHARU: Kuala Kubu Bharu, yang terletak di daerah Hulu Selangor, semalam diisytiharkan sebagai wilayah Central Forest Spine (CFS).

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Hulu Selangor merupakan kawasan yang bersambung dengan Banjaran Titiwangsa iaitu berhampiran Perak serta Pahang dan ini menjadikan lokasi itu wajar diisytihar sebagai CFS bagi Selangor.

"Walaupun Selangor dianggap sebagai 'Secondary Linkages' kepada kawasan induk (CFS) tetapi ia (hutan) masih perlu dikekalkan," katanya selepas merasmikan Sambutan Hari Hutan Antarabangsa dan Pengisytiharan Wilayah CFS Peringkat Negeri Selangor di Taman Millenium semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) Datuk Mohd Ridza Awang.

CFS diwujud bagi mengekalkan kawasan berhutan untuk pemeliharaan dan pemulihan biodiversiti menerusi penyambungan empat kompleks hutan utama di Semenanjung Malaysia iaitu Banjaran Titiwangsa-Banjaran Bintang-Banjaran Nakawan, Taman Negara-Banjaran Timur, Tanah Lembap Pahang Tenggara, Tasik Chini dan Tasik Bera serta Taman Negara Endau Rompin-Rizab Hidupan Liar Kluang.

Ketika ini, dalam konteks CFS di Selangor, hanya satu koridor Secondary Linkages yang terlibat iaitu koridor ekologi merangkumi HSK Raja Musa-HSK Bukit Tarek-HSK Gading.

Amirudin berkata pengisytiharan wilayah CFS itu juga amat penting untuk menjadi pemangkin kepada pelaksanaan pemeliharaan koridor ekologi di Selangor.

"Komitmen kita semua di peringkat negeri ini akan berupaya memberi impak kepada agenda negara dalam menangani isu pencemaran alam sekitar, pemanasan global, perubahan iklim dan bencana alam," katanya.

Mohd Ridza pula berkata JPSM selaku Pengerusi bagi Jawatankuasa Teknikal Nasional Pelaksanaan CFS dan urus setia bagi Jawatankuasa Pemandu Nasional Pelaksanaan CFS akan berusaha memastikan sebahagian peruntukan di peringkat Persekutuan turut disalur kepada Selangor sebagai pemangkin kepada pelaksanaan program yang dirancang.

Beliau berkata JPSM telah menyalurkan RM512,000 kepada negeri itu melalui Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sejak 2018 bagi pelaksanaan program di bawah skop projek pengurusan dan pembangunan CFS.

-- BERNAMA