KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kesal susulan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan sambutan tahun baharu 2024 di Kuala Lumpur dicemari sampah yang bertaburan.

DBKL menerusi hantaran di Facebook berkata, situasi sama dihadapi saban tahun susulan sikap dan pemikiran sesetengah warga kota yang masih ditakuk lama apabila membuang sampah sesuka hati.

"Hari ini merupakan hari pertama kita menjejaki tahun 2024. Semalam tahun 2023 ditinggalkan dengan seribu kenangan. Masing-masing daripada kita sudah pasti memasang azam untuk lebih berjaya dalam mengejar impian pada tahun ini.

"Namun permulaan bagi Kuala Lumpur pada tahun ini seperti biasa dicemari dengan sikap sesetengah warga kota yang masih mempunyai sikap dan cara berfikir di takuk lama.

"Membuang sampah sesuka hati dengan anggapan pandai-pandai la DBKL bersihkan nanti," menurut hantaran di Facebook pada Isnin.

Katanya, sikap tersebut tidak selari dengan hasrat menjadikan Kuala Lumpur indah seperti bandar-bandar di negara lain.

"Peliknya, kita masih nak bandingkan Kuala Lumpur dengan bandar-bandar di negara yang lain dari segi keindahannya... kena tengok bagaimana sikap warga mereka dalam soal kebersihan.

"Bukan minta anda tolong bersihkan kawasan.. cukup sebagai permulaan, masing-masing urus sampah sendiri, jangan buang merata dan kalau perlu, bawa plastik sampah sendiri," katanya.

Dalam pada itu DBKL turut berkongsi gambar keadaan selepas ambang tahun baru antaranya tin minuman bertaburan di atas jalan selain bekas makanan yang ditinggalkan di lokasi.

https://www.sinarharian.com.my/article/642135/edisi/selangor-kl/kuala-lumpur-dicemari-sampah-ambang-tahun-baharu-2024