Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kualiti perumahan mampu milik dibina kerajaan adalah sama seperti perumahan dibina pemaju sektor swasta walaupun ia dijual dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran.

Malah, memahami bahawa perumahan mampu milik adalah hak rakyat, kerajaan menggalakkan rakyat memohon untuk mendapatkan rumah mampu milik berkenaan.

"Semua projek unit perumahan ini walaupun dijual dengan harga yang jauh lebih rendah daripada harga pasaran, namun kualitinya menyamai rumah yang dibina oleh pemaju swasta.

"Untuk rumah bertingkat, setiap unit rumah dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, ruang tamu dan dapur untuk keselesaan ahli keluarga tersayang," katanya melalui entri terbaharu di laman blog najibrazak.com.

Tambahnya, kerajaan memperuntukkan RM6 bilion bagi memastikan rakyat dapat memiliki rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan harga RM35,000 di Semenanjung dan RM42,000 di Sabah dan Sarawak.

"Sebanyak RM80,000 sehingga RM120,000 subsidi telah disalurkan Kerajaan untuk setiap unit PPR. Projek rumah mampu milik ini merupakan salah satu kejayaan terbesar Kerajaan kerana berjaya menyiapkan 83,759 unit rumah melalui 120 projek PPR untuk golongan yang memerlukan," ujarnya.

Perdana Menteri berkata lebih banyak permohonan PPR bakal dibuka seperti PPR Kepong, PPR Mukim Naga di Kubang Pasu, PPR Kota Bharu di Kelantan, dan PPR Kampung Tok Suboh di Pulau Pinang.

Tegasnya, kerajaan sentiasa menunaikan janji untuk menyediakan keperluan untuk rakyat berbanding Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang yang gagal menyediakan rumah mampu milik kerajaan negeri.

"Di Selangor, sembilan projek Selangorku dibatalkan. Manakala di Pulau Pinang walaupun selepas sembilan tahun, kerajaan negeri masih gagal menyerahkan kunci rumah mampu milik kepada rakyat," kata beliau lagi.