KUALA LUMPUR: Kualiti udara dalam negara semakin merosot petang ini dengan stesen pemantauan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian, Sarawak merekodkan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap berbahaya 391 manakala empat lagi kawasan di negeri itu berada pada tahap sangat tidak sihat.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Alam Sekitar Azuri Azizah Saedon dalam kenyataan memaklumkan empat kawasan berstatus sangat tidak sihat ialah Kuching dengan bacaan IPU 285, Sri Aman (275), Samarahan (274) dan Sarikei (206).
Beliau berkata setakat 5 petang, sebanyak 14 kawasan turut merekodkan IPU tahap tidak sihat manakala 45 kawasan berada pada tahap sederhana dan tiga lagi pada tahap baik.
Kawasan yang merekodkan tahap tidak sihat ialah Sibu (180), Mukah (172), Bintulu (166), Samalaju (164), Kapit (157), Institut Latihan Perindustrian Miri (153), Limbang (151) dan Miri (106) di Sarawak.
Turut berada pada tahap sama ialah di Sabah iaitu Politeknik Kota Kinabalu dan Kota Kinabalu masing-masing dengan bacaan 156, Kimanis (155) dan Keningau (154) serta Wilayah Persekutuan Labuan (157) dan Johan Setia, Selangor (127).
“Kualiti udara dalam negara pada hari ini didapati merosot dengan beberapa kawasan khususnya di Sarawak, Sabah dan Labuan merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, sangat tidak sihat, dan berbahaya yang dipengaruhi oleh pergerakan asap jerebu dari pelbagai arah,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 2 Sept, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA) 20 mengesan 795 titik panas di Kalimantan, 144 di Sumatera dan tiga dalam negara yang kesemuanya di Sarawak.
Azuri Azizah berkata Peta Jerebu Serantau ASMC pada tarikh sama menunjukkan titik panas bertaburan hingga meluas dikesan di Kalimantan dan Sumatera, dengan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal meliputi bahagian utara Borneo serta barat daya, barat dan tengah Filipina.
“Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas yang dikesan di banyak kawasan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera.
“Susulan peningkatan aktiviti titik panas (hotspot) serta keadaan jerebu yang semakin meluas di rantau selatan ASEAN, dan berdasarkan hasil pemantauan, penilaian serta ramalan ASMC, Sekretariat ASEAN telah mengaktifkan Tahap Amaran 3 bagi rantau selatan ASEAN berkuat kuasa mulai 27 Ogos lepas, selaras dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) MAJER ASEAN,” katanya.
Beliau berkata JAS menerusi Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) akan terus memantau kualiti udara dari semasa ke semasa dengan tindakan dilaksanakan bersama agensi berkaitan mengikut tahap dan perkembangan semasa.
-- BERNAMA