Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan pelan lima tahun 'Kuching Bandar raya Bersih, Indah dan Selamat' untuk menjadikannya kota raya yang lestari dan selesa didiami menjelang
2017 sebagai pelan strategik.

Beliau yakin jika rangka tindak itu digerakkan oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dengan kerjasama komuniti, Kuching akan mencapai tahap yang memenuhi tuntutan penduduknya pada semua aspek.

"Kita tidak mengimpikan Kuching sebagai bandar raya besar, malah model pembangunan di Sarawak ialah membangunkan bandar-bandar kecil, kecuali Kuching sebagai bandar terbesar, bagi memastikan negeri ini tidak menjadi mangsa perbandaran yang pesat yang cenderung mewujudkan pelbagai masalah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan merasmikan persidangan antarabangsa dua hari mengenai 'City With A Soul', di sini yang dianjurkan oleh DBKU sempena sambutan jubli perak Kuching dan jubli emas kemerdekaan Sarawak dalam Malaysia.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Pembangunan Masyarakat Sarawak Datuk Seri Wong Soon Koh di hadapan 250 peserta termasuk dari Singapura, Afrika Selatan, Nigeria dan Thailand.

Katanya bandar raya yang mempunyai 'jiwa' menuntut pihak berkuasa tempatan menyuburkan sistem demokrasi yang membolehkan komuniti juga bersuara dalam soal membabitkan kehidupan harian mereka.

"Dengan cara ini, akan timbul keinginan masyarakat untuk membina keluarga di sini," katanya menambah pihak berkuasa tempatan boleh menjadi titik pertemuan bagi pemimpin untuk membawa kestabilan politik dan sosial.

DBKU merupakan pihak berkuasa tempatan yang mentadbir bahagian utara bandar raya Kuching, meliputi keluasan 300 kilometer persegi dengan 300,000 penduduk dan 38,000 hartanah.