KUALA LUMPUR: Seekor kuda mati selepas dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Sungai Tua-Ulu Yam, Selayang, kira-kira 6.30 pagi tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak Supt Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata siasatan awal mendapati kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang dipandu seorang lelaki warga tempatan berumur 54 tahun itu dalam perjalanan dari arah Antara Gapi menghala ke Sri Gombak.

"Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu menyedari seekor kuda berada di laluannya dan tidak sempat mengelak hingga menyebabkan berlaku kemalangan.

"Pemandu Ford Ranger bersama penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan manakala kuda itu mati di tempat kejadian. Kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noor Ariffin ketika dihubungi Bernama berkata polis sedang menyiasat dari mana datangnya kuda berkenaan kerana sehingga kini belum ada pihak yang tampil menuntut kuda itu.

"Saya difahamkan di sekitar kawasan kemalangan mempunyai kandang kuda tetapi belum dapat dipastikan sama ada kuda yang mati itu milik kandang berkenaan (atau tidak)," katanya.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Trafik Sarjan Mohd Sakri Mat di talian 019-9145899 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

-- BERNAMA