IPOH: Dahulunya ada kisah legenda mengatakan kuih bulan menjadi medium untuk menyampaikan mesej bagi menggulingkan pemerintahan Mongol pada zaman dinasti Yuan.

Kisah itu antara salah satu versi yang sohor diuar-uarkan dari mulut ke mulut sehingga sekarang ia diraikan sebagai Perayaan Kuih Bulan.

Perayaan tersebut disambut pada hari ke-15 bulan ke-8 pada kalendar Cina, iaitu pada akhir Ogos hingga akhir September.

Jika dahulu ia menjadi mesej untuk reformasi atau peperangan, namun kini ia diraikan untuk mengukuhkan kesefahaman sesama masyarakat.

Melihat potensi yang ada pada perayaan kebudayaan itu, Festival Kuih Bulan telah dianjurkan oleh Cycledios kelmarin dengan kehadiran masyarakat berbilang kaum dan bangsa.

Menurut Pengurus Besar Cycledios, Camees Foong, lebih 100 peserta hadir bagi menyertai pelbagai acara menarik yang dilaksanakan di Taman Dr Seenivasagam seperti kayuhan santai, membawa tanglung dan menjamah kuih bulan serta makanan tradisi.


Katanya, program sedemikian akan diperluas bagi tahun berikutnya di lima lagi lokasi di negeri ini.

"Selain Ipoh, cadangan bagi tahun depan kami akan anjurkan di Taiping, Kuala Kangsar, Tapah dan Teluk Intan.

"Untuk permulaan kami sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) anjur secara kecil-kecilan sahaja, ia membabitkan kaum Cina, Melayu dan India.

"Bukan hanya perayaan ini sahaja tetapi kami sudah anjurkan pelbagai program perayaan membabitkan semua kaum, tujuannya untuk perpaduan dan keharmonian," katanya kepada pemberita.

Tambahnya, perayaan tersebut sama sekali tidak melibatkan ritual keagamaan dan hanya berlandaskan kisah legenda rakyat semata-mata.

"Dikatakan ia wujud disebabkan dahulu ada peperangan, dalam kuih bulan itu akan dimasukkan mesej atau surat untuk dihantar kepada golongan sasaran, pada malam hari muncul bulan dan ia menjadi isyarat untuk buka mesej tersebut.

"Maka wujudlah perayaan ini, ia rentetan kejadian tersebut. Ada banyak versi, tetapi memang tidak ada kena mengena dengan keagamaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Cina Muslim Ipoh, Mohammad Hafiz Ng Abdullah mengakui masih ramai umat Islam yang beranggapan perayaan itu membabitkan ritual keagamaan.


"Ia tiada kaitan dengan agama, hanya sekadar sejarah Mongol dahulu. Mereka mahu menjatuhkan kerajaan Mongol. Dalam kuih bulan itu ada diselitkan kertas rahsia untuk diedar kepada kumpulan mereka bagi menjatuhkan kerajaan.

"Setelah menang dalam peperangan itu, ia dijadikan perayaan untuk kenang-kenangan. Dan sehingga kini ia merupakan hari untuk keluarga berkumpul dan tanglung itu pula sebagai simbolik ia digunakan zaman dahulu sebab tiada lampu dan gelap," katanya yang turut hadir pada festival itu.

Mohammad Hafiz yang juga Timbalan Pengerusi Masjid Muhamaddiah Ipoh berharap supaya di tahun mendatang festival itu dapat menjadi agen merapatkan hubungan antara orang Islam dan bukan Islam.

Salah seorang peserta, Anne Lee dari Tasek berkata ini merupakan kali pertama dia menyertai festival sedemikian bersama keluarga.

"Pandangan saya, kita kena uar-uarkan yang ia budaya masyarakat Cina. Walaupun kita sudah peluk Islam tetapi masih terapkan kebudayaan yang tidak bercanggah di sisi agama," katanya ketika ditemui.