Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bakal menyampaikan kuliah utamanya di Pusat Pengajian Islam Oxford, United Kingdom sekitar jam 5 petang waktu tempatan pada Isnin (12 malam waktu Malaysia).

Syarahan bertajuk "The Challenge of Good Governance in the Muslim World" merupakan ucapan pertama Dr Mahathir di negara barat setelah memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

Menurut Felo pusat pengajian berkenaan, Datuk Dr Afifi Al-Akiti, ucaptama ini sangat ditunggu-tunggu seluruh dunia umumnya selepas ucaptamanya yang terkenal sebelum ini bertajuk "Islam the Misunderstood Religion" pada tahun 1996 di pusat pengajian itu.

Sewaktu itu, Dr Mahathir masih berjawatan Perdana Menteri keempat Malaysia.

"Umat Islam dan masyarakat antarabangsa sangat bersemangat untuk mendengar apa yang akan disampaikan Tun Dr Mahatahir yang dilihat tepat pada masanya," katanya dalam satu mesej ringkas kepada Astro AWANI.

Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama itu dalam lawatan ringkasnya ke United Kingdom sebelum ke New York pada Selasa bagi menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-73.

Beliau juga dijangka kembali ke London pada 29 Sept sehingga 1 Okt bagi menghadiri beberapa acara termasuk sesi dialog dan minum petang bersama warga Malaysia di sana.