KULIM: Hujan lebat berlarutan pada lewat petang Jumaat mengakibatkan beberapa kawasan di Daerah Kulim dilanda banjir kilat.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, pihaknya terpaksa mengaktifkan lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini bermula jam 9 malam.

SEGALA MAKLUMAT BERKAITAN BANJIR DI SINI

Katanya, lima PPS yang dibuka adalah di surau Taman Sang Kancil, Sekolah Kebangsaan Sri Limau, Dewan Penghulu Paya Tok Betok, Masjid Sungai Seluang dan surau Kampung Bukit Sarang Ayam.

"Air mula memasuki kediaman penduduk jam 7 malam melibatkan Kampung Sungai Seluang di Mukim Sungai Seluang, Surau Taman Sang Kancil di Mukim Lunas, Kampung Paya Tok Betok di Mukim Sungai Ular dan Kampung Bukit Sarang Ayam di Mukim Padang Cina.

"Kini kerja memindahkan mangsa masih dilakukan dan kiraan jumlah keseluruhan mangsa dan keluarga masih dilakukan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Amirul Aliff, agensi lain yang menguruskan mangsa di PPS adalah Pejabat Daerah Kulim, PDRM, Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan Kampung (JPKK), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).