KUALA LUMPUR: Beberapa individu dan kumpulan kesihatan antarabangsa memuji Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022, menyifatkannya sebagai game changer atau pengubah keadaan untuk kawalan tembakau.

Dalam satu kenyataan bersama pada Sabtu, mereka menyatakan sokongan penuh terhadap pendekatan berwawasan Malaysia dalam memperkenalkan RUU itu, yang dikenali sebagai Generasi Penamat (GEG) bagi melindungi generasi masa hadapan daripada wabak tembakau.

"GEG Malaysia ialah cadangan dasar yang wajar untuk melindungi belia daripada penyakit kronik dan ketagihan sepanjang hayat, yang akan meraih faedah sosial dan ekonomi dalam jangka masa panjang.

"GEG juga selaras dengan Perkara 16 (penjualan kepada dan oleh kanak-kanak bawah umur) Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang menggalakkan pihak-pihak untuk melaksanakan langkah melebihi apa yang diperlukan oleh Konvensyen (Perkara 2.1)," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan GEG akan meningkatkan usaha Malaysia untuk menangani wabak tembakau dengan lebih berkesan dan menyertai banyak negara lain dan pihak berkuasa yang menumpukan kepada penamat masalah tembakau.

"Pada 2021, lebih 140 organisasi di seluruh dunia menyeru agar penjualan rokok dihentikan secara berperingkat. Ini adalah tahap minimum yang perlu dilakukan kerajaan untuk menamatkan wabak tembakau yang membunuh lebih 28,000 rakyat Malaysia dan 8 juta orang di seluruh dunia setiap tahun," menurut kenyataan itu.

Rang undang-undang itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin pada 27 Julai lepas tetapi kemudiannya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen untuk diperhalusi.

RUU itu dijangka dibentang semula di Dewan Rakyat bulan ini dan Khairy yakin RUU itu akan menerima sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen selepas pindaan dibuat ke atasnya.

Rang undang-undang berkenaan memperuntukkan larangan ke atas individu yang lahir pada 2007 dan selepas itu daripada merokok, membeli atau memiliki produk tembakau atau peranti rokok.

-- BERNAMA