MAKKAH: Kumpulan pertama 284 jemaah Malaysia yang baharu selesai menunaikan ibadah haji akan berlepas pulang ke tanah air dari Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah pada 7.15 pagi waktu tempatan (12.15 tengah hari waktu Malaysia), Rabu ini.

Kesemua mereka akan berlepas menggunakan pesawat MH8261 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira 9.45 malam Rabu.

Pengarah Operasi Maktab Mohd Sawal Abong berkata bagi memudahkan urusan pulang jemaah haji berkenaan, pihak Tabung Haji (TH) dan syarikat penerbangan mengadakan city check-in, iaitu penghantaran bagasi untuk proses daftar masuk di maktab penginapan masing-masing.

"Jemaah haji tidak perlu untuk menimbang bagasi di lapangan terbang, sebaliknya dibuat di tempat penginapan masing-masing bagi keselesaan mereka," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses city check-in di Ibu Pejabat TH Makkah, Abraj Janadriyah di sini hari ini.

Beliau berkata setiap jemaah haji dibenarkan membawa bagasi seberat 30 kilogram, selain dilarang membawa pulang air zamzam seperti ditetapkan pihak berkuasa Arab Saudi.

Menurutnya setiap jemaah haji akan diberikan lima liter air zamzam setibanya mereka di tanah air.

Penerbangan terakhir kumpulan jemaah haji Malaysia dijadual berlepas dari Madinah pada 31 Julai depan.

-- BERNAMA