Skip to main content

Malaysia

Kuota subsidi diesel luar bandar di Sabah dicadang dinaikkan kepada 500 liter

KUALA TERENGGANU, 1 Julai -- Pengguna, Mohd Iffat Mohd Zain, 35, mengisi minyak melalui BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) bagi menikmati harga subsidi RM2.10 seliter ketika ditemui di Stesen Minyak Petronas Tok Adis hari ini._BERNAMA
BUDI Diesel dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Julai lepas, dengan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak diberikan kuota asas 200 liter sebulan pada harga bersubsidi RM2.10 seliter. - Gambar hiasan
Advertisement

KOTA KINABALU: Kuota subsidi diesel bagi kawasan luar bandar di Sabah dicadangkan dinaikkan daripada 200 liter kepada 500 liter sebulan bagi menampung keperluan perjalanan jauh, khususnya di kawasan pedalaman, Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah diberitahu hari ini.

Datuk Masiung Banah (GRS-Kuamut) berkata kuota sedia ada tidak memadai bagi kawasan pedalaman seperti Kuamut kerana penduduk dan wakil rakyat perlu menempuh perjalanan berjam-jam untuk ke pusat bandar bagi menguruskan pelbagai keperluan.

"Subsidi diesel yang telah dihadkan kepada 200 liter itu tidak mencukupi untuk kawasan saya. Bayangkan, daripada Kuamut ke Kota Kinabalu mengambil masa enam hingga tujuh jam pergi balik.

"Saya tiada angka berapa kilometer, tetapi yang pastinya untuk pergi balik daripada Kuamut ke Kota Kinabalu, 200 liter itu sudah habis. Itu hanya pergi balik satu perjalanan, sedangkan kita hanya diberikan had 200 liter untuk satu bulan," katanya.

Pengerusi Kumpulan Backbenchers Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu berkata demikian ketika membahaskan penggulungan Usul Penambahan Perbelanjaan Perbekalan 2026 pada persidangan DUN Sabah, di sini, hari ini.

Masiung berkata pelaksanaan penyasaran subsidi diesel perlu mengambil kira perbezaan keadaan antara kawasan bandar dengan luar bandar, terutama dari aspek jarak, bentuk muka bumi dan keluasan kawasan.

Beliau berkata meskipun memahami cabaran Kerajaan Persekutuan dalam melaksanakan penstrukturan pemberian subsidi demi kepentingan negara dan rakyat, keperluan kawasan luar bandar perlu diberi perhatian.

"Saya mohon kepada kerajaan Persekutuan, dan yang pastinya saya difahamkan kerajaan negeri telahpun menubuhkan satu jawatankuasa pemantau untuk subsidi diesel ini dan juga petrol.

"Mohon kepada pihak urusetia yang telah dibentuk di pihak kerajaan negeri mengambil maklum tentang ini. Kita mohon supaya kuota ini dinaikkan daripada 200 liter kepada 500 liter untuk kawasan luar bandar," katanya.

BUDI Diesel dilaksanakan di seluruh negara mulai 1 Julai lepas, dengan pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak diberikan kuota asas 200 liter sebulan pada harga bersubsidi RM2.10 seliter.

Pemilik kenderaan utiliti sukan (SUV) dan trak pikap yang memenuhi syarat pula boleh memohon tambahan 100 liter sebulan.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement