SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan memberi jaminan insiden pencemaran membabitkan kupang di perairan Port Dickson akan dapat dipulihkan dalam masa terdekat, sekali gus mengambalikan semula industri berkenaan.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kupang tersebut dicemari toksik secara semulajadi, dan bukan berpunca daripada aktiviti pihak-pihak tertentu.

“Kita sedia maklum (pencemaran kupang) telah disiasat dan insya-Allah isu tersebut akan diberikan perhatian oleh pihak Jabatan Perikanan Malaysia.

“Punca pencemaran daripada toksik dan kita sedia maklum kupang makan apa yang ada berhampiran dengannya,” katanya kepada pemberita, di sini, pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian dan Program Walkabout Mantai Rayo 2024 di Sikamat, di sini.

Pada 4 April lalu, Jabatan Perikanan Malaysia memaklumkan sampel air dan kupang di perairan Port Dickson dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.

Begitupun, ia tetapi tidak menjejaskan hidupan marin lain.

Mengulas mengenai tindakan Singapura menyekat bekalan dan penjualan kupang dari Port Dickson,  Aminuddin berkata ia dijangka tidak menjejaskan industri kupang di negeri itu.

Jelas beliau, kegiatan tersebut dijalankan secara hiliran untuk nelayan menambah pendapatan mereka.

“Tetapi kita akan melihat kesannya walaupun bilangan (nelayan jual kupang) tak ramai, kita nak lihat kesan pendapatan kepada nelayan pantai,” ujar beliau lagi.

Sementara itu, Aminuddin berkata bekalan daging di Negeri Sembilan cukup untuk sambutan hari raya Aidilfitri akan datang.

Jelasnya, kerajaan negeri melalui kerjasama kementerian dan jabatan terbabit mengambil inisiatif mengadakan pelbagai program seperti Program Mantai dan Jualan Rahmah, bagi menawarkan barangan asas dengan harga berpatutan.

"Program Mantai yang ada di sini bukan sahaja menjual daging lembu tetapi turut melibatkan Jualan Nismilan Prihatin, Jualan Rahmah oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dan Jualan Agro MADANI.

“Jualan-jualan ini membantu, ada jual ayam dan semua keperluan asas. Insya-Allah dalam harga yang cukup menarik, yang pastinya dinanti-nanti oleh masyarakat kerana mereka nak berjimat menjelang hari raya ini.

“Ini juga dapat membantu masyarakat menghadapi kenaikan harga barangan dan saya yakin barang lebih murah berbanding hari raya terdahulu," tambahnya.

Aminuddin berkata, Program Mantai dianjurkan di 20 lokasi melibatkan 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan  menyediakan kira-kira 16,000 kilogram daging untuk masyarakat di negeri itu.

Tradisi Mantai lazimnya diadakan sehari sebelum Ramadan atau sehari sebelum Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.