KUALA LUMPUR: Mula-mula Larissa Lumadan tertinggal telefon bimbitnya di dalam peti sejuk beku, kemudian dia tidak dapat mengingat apakah barang yang perlu dibawa bersamanya untuk berpindah dari Sabah ke Kuala Lumpur serta di mana dia letakkan barang-barang tersebut.
"Saya ambil masa tiga hari untuk mengemas barang-barang biasa, seolah-olah saya tidak tahu bagaimana hendak mengemas beg pakaian. Ini tidak pernah berlaku kepada saya sebelum ini, sama sekali tidak pernah," kongsi wanita berusia 32 tahun itu kepada Bernama.
Keadaan itu berterusan. Menurut anak jati Kota Kinabalu itu, selepas berpindah ke ibu negara bulan lepas, dia mendapati dirinya kerap lupa, seperti mencari pakaian yang hendak dipakai sedangkan pakaian tersebut sudah ada di tangan, ataupun mengulang basuh pinggan mangkuk kerana terlupa pinggan mangkuk terbabit sudah dibasuh.
Larissa hanya menyedari ada yang tidak kena dengan dirinya apabila mendapati dia berada di Avenue K, bukan di Suria KLCC yang mahu dikunjunginya, ketika menggunakan terowong penghubung kedua-dua pusat beli-belah tersebut, iaitu laluan yang tidak asing baginya semasa bergelar pelajar di Kuala Lumpur sebelum ini.
Dia menggambarkan fikirannya bagaikan "sangat kabur". Dari segi perubatan, keadaan ini dipanggil kabut otak (brain fog), iaitu gejala biasa long COVID atau sindrom pasca-COVID.
Selain kabut otak, Larissa juga mengalami kelesuan, batuk serta keguguran rambut yang berlaku selepas beberapa minggu dia pulih daripada COVID-19 pada Februari lepas. Kes wanita ini dianggap ringan sekalipun dia menggambarkan gejala yang dialaminya sebagai "teruk". Larissa juga lengkap vaksinasi berserta dos penggalak.
Walaupun menanggung ketidakselesaan akibat gejala yang dialaminya, Larissa tidak mendapatkan rawatan, sebaliknya memberitahu Bernama kesemua gejala tersebut bertambah baik dengan sendiri.
Larissa merupakan antara puluhan ribu individu yang dianggar mengalami long COVID di Malaysia namun tidak diketahui oleh pihak berkuasa, iaitu satu situasi yang mungkin turut menjejaskan kesihatan pesakit pada masa depan. Pakar bimbang isu kurang hitung pesakit long COVID ini akan menyebabkan sistem penjagaan kesihatan tidak dapat bersedia untuk menampung sebegitu ramai penghidap masalah kesihatan berkaitan COVID pada masa akan datang.
Apa itu Long COVID?
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), long COVID merupakan pelbagai gejala yang terbentuk atau kekal selama berminggu atau berbulan selepas pesakit pulih daripada COVID-19. Kebanyakan simptom bertambah baik selepas tiga bulan, tetapi boleh juga berterusan hingga lebih setahun.
WHO menganggarkan 10 hingga 20 peratus bekas pesakit COVID-19 mengalami long COVID, sekalipun takrifannya berbeza mengikut negara. Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) menganggarkan kadar yang lebih tinggi iaitu satu daripada lima orang dewasa berusia bawah 65 tahun dan seorang daripada setiap empat warga emas.
Setakat 26 Mei, Malaysia merekodkan hampir 4.5 juta kes COVID-19, bermakna angka penghidap long COVID adalah sekitar 450,000 kes jika bersandarkan anggaran WHO.
Bagaimanapun kerajaan melaporkan tidak sampai 20,000 orang mengalami long COVID setakat November 2021, dan lebih 9,000 orang menjalani rehabilitasi bagi keadaan itu di kemudahan kesihatan awam setakat 10 Mei lepas.
"Saya rasa (kurang hitung ini disebabkan) tidak semua pesakit datang mendapatkan rawatan susulan atau pesakit itu sekadar tanggung sendiri senyap-senyap. Mereka mungkin anggap gejala yang dialami adalah perkara biasa, sebab itu mereka tidak dapatkan rawatan," kata Dr Sally Tee, pakar perunding neurologi di Hospital Pantai Kuala Lumpur.
WHO menggariskan gejala biasa long COVID ialah kelesuan; mengah atau kesukaran bernafas; masalah daya ingatan, tumpuan atau tidur; batuk berterusan; sakit dada; kesukaran bertutur; sakit otot; hilang deria bau atau rasa; kemurungan atau kebimbangan; dan demam.
Di Malaysia, gejala long COVID yang paling biasa ditemukan ialah kelesuan, kesukaran bernafas, batuk, sakit sendi dan otot, kebimbangan serta kabut otak, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).
Sekalipun kes COVID-19 yang teruk lebih berisiko mengalami long COVID, mereka yang tidak bergejala atau bergejala ringan juga boleh mengalami sindrom pasca-COVID.
Pakar penyakit berjangkit Dr Bushra Megat Johari yang menjalankan kajian tentang long COVID dalam kalangan pesakit di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), memberitahu Bernama hakikat bahawa long COVID boleh dialami oleh setiap pesakit tanpa mengambil kira tahap keseriusan jangkitan COVID-19 yang dialaminya, merupakan antara sebab berlaku kurang hitung.
"Kebanyakan kes susulan adalah mereka yang dimasukkan ke hospital, iaitu kategori tiga hingga lima (sederhana hingga teruk), jadi kita mungkin tidak cakna mereka yang dalam kategori satu dan dua (tidak bergejala dan bergejala ringan), melainkan mereka datang untuk dapatkan rawatan," katanya.
Berdasarkan garis panduan semasa, kes tidak bergejala atau bergejala ringan sekadar jalani proses pemulihan mereka di rumah dan hanya diketahui oleh petugas KKM apabila pesakit melaporkan status jangkitan mereka. Data mengenai long COVID juga hanya bergantung pada laporan kendiri yang tidak merangkumi mereka yang mendapatkan rawatan di fasiliti selain kemudahan kesihatan kerajaan.
"Contohnya mereka yang mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan swasta. Jika saya merawat pesakit long COVID atau kes rehabilitasi, tidak ada pangkalan data untuk saya laporkan kes saya," kata Dr Helmy Haja Mydin, pakar perunding pulmonologi di Hospital Pantai Kuala Lumpur.
"Begitu juga jika saya ada pesakit atau rakan yang berpandangan ubat tradisional lagi bagus dalam membantu memulihkan kelesuan atau apa sahaja simptom yang mereka alami," tambahnya lagi.
KEPENTINGAN DATA SEBENAR
Pakar bersetuju data sebenar pesakit long COVID merupakan kunci dalam penggubalan dasar dan juga untuk pembinaan keupayaan, dalam usaha menyediakan penjagaan kesihatan dan sokongan kepada penghidap long COVID pada masa akan datang.
Kebanyakan simptom long COVID akan hilang selepas tiga bulan, sementara sesetengah pula mengalami keadaan itu lebih lama hingga lebih setahun seperti Asmah (bukan nama sebenar). Pakar berkata gejala boleh berterusan lebih lama disebabkan COVID-19 adalah penyakit baharu dan tidak banyak yang diketahui tentang sindrom itu.
Ibu kepada dua anak dan penggemar aktiviti 'hiking' itu dijangkiti COVID-19 pada Disember tahun lepas dan hingga kini dia masih mengalami kelesuan, batuk-batuk, kebimbangan dan mengah. Dia juga menerima dos lengkap vaksin namun belum sempat menerima dos penggalak semasa dijangkiti.
"Sekarang saya mudah rasa penat. Jika saya gunakan tangga dari tingkat bawah tanah ke pejabat, saya terpaksa berhenti rehat di tingkat satu untuk hilangkan mengah," ceritanya, menambah sejak dijangkiti COVID-19 dia sudah tidak lagi dapat melakukan aktiviti kegemarannya - 'hiking'.
Asmah juga berkata dia belum mendapatkan rawatan untuk gejala yang dialaminya, namun mungkin berbuat demikian dalam masa terdekat sekiranya simptom tersebut masih berterusan atau bertambah teruk.
Kajian menunjukkan long COVID merupakan satu keadaan melumpuhkan.
"Long COVID boleh menyerang mana-mana organ dan sistem termasuk neurologi, otak, saraf tunjang dan saraf. Sistem lain seperti paru-paru, jantung, otot, malah usus juga boleh terjejas," kata Dr Tee.
Kajian CDC yang diterbitkan pada 25 Mei lepas mengesahkan hal itu, mendapati pesakit COVID berkemungkinan dua kali ganda mengalami masalah kesihatan seperti gejala respiratori, masalah paru-paru dan pembekuan seperti pasca-COVID embolisme pulmonari. Warga emas, mereka yang berusia 65 tahun dan ke atas lebih cenderung mengalami kegagalan buah pinggang, masalah neurologi serta penyakit mental. Kajian itu meneliti rekod perubatan hampir dua juta orang.
Analisis lain, termasuk yang dilakukan oleh Bank of England dan Bank Dunia, melaporkan negara-negara di dunia berdepan kemungkinan kekurangan tenaga kerja dan sistem penjagaan kesihatan yang terbeban pada masa depan melainkan langkah persediaan dilakukan dari sekarang.
Data penting namun proses mendapatkan maklumat itu mungkin tidak mudah.
Dr Helmy mencadangkan agar pengamal perubatan di sektor swasta melaporkan kes long COVID kepada pangkalan data, sementara Dr Bushra menyarankan agar MySejahtera dimanfaatkan sebagai antara kaedah untuk membuat susulan ke atas pesakit COVID-19 dan mengumpul data.
Beliau juga berkata ada keperluan untuk tingkatkan kesedaran awam tentang long COVID, galakkan masyarakat tampil mendapatkan rawatan bagi mengelakkan sebarang komplikasi pada masa depan.
"Pesakit juga harus disaring untuk penyakit jantung dan komplikasi metabolik seperti diabetes yang mungkin berlaku," ujar beliau.
Bagi Dr Tee, adalah penting buat pesakit mendapatkan rawatan untuk kesemua gejala long COVID, khususnya gejala psikiatrik seperti kemurungan, berikutan stigma berkaitan kesihatan mental.
Bagaimanapun kesemua mereka bersetuju penyelesaian terbaik ialah mengelak daripada dijangkiti COVID-19. Pakar menegaskan pentingnya berpelitup muka, mendapatkan vaksin dan dos penggalak, kerana dos lengkap vaksin dan penggalak dapat mengurangkan potensi mengalami kes teruk yang turut mengurangkan risiko menghidap long COVID.
Larissa menyifatkan vaksinasi dan dos penggalak sebagai penyelamat nyawanya. Katanya semasa dia dijangkiti COVID, dia batuk tanpa henti, kahak pula pekat dan berwarna coklat, selain tidak mampu berjalan walaupun untuk ke bilik air serta sukar bernafas.
"Jika saya yang lengkap vaksinasi serta disuntik dos penggalak mengalami keadaan seperti ini, bayangkan gejala yang saya alami jika saya tidak divaksinasi," ujarnya.
-- BERNAMA / Nurul Isnaini Mohd Muslim
Bernama
Mon May 30 2022
Dari segi perubatan, keadaan ini dipanggil kabut otak (brain fog), iaitu gejala biasa long COVID atau sindrom pasca-COVID. - Gambar hiasan/Pexels
Berakhirnya pemerintahan Baath Syria buka jalan kepada keamanan - Erdogan
Erdogan mengulangi komitmen Turkiye untuk terus menyokong golongan tertindas di seluruh dunia.
Kesan kenaikan cukai import minyak sawit oleh India bersifat sementara - KPK
Kenaikan itu sebahagian daripada usaha India melindungi harga minyak tempatan dan menyokong industri pertanian domestiknya.
Ketiadaan akauntabiliti antarabangsa bolehkan Israel lakukan jenayah terhadap rakyat Palestin - PM Mustafa
Beliau berkata demikian semasa pertemuan dengan Wakil Khas Kesatuan Eropah untuk Proses Keamanan Asia Barat Sven Koopmans pada Rabu.
Qatar akan buka semula kedutaan di Damsyik selepas 13 tahun
Doha akan membuka semula kedutaannya di Syria tidak lama lagi selepas memuktamadkan pengaturan yang diperlukan.
Pusat Data Bagan Datuk bakal jadi pencetus perubahan ekonomi digital global
Ia bagi menyediakan infrastruktur kritikal untuk menyokong operasi perniagaan moden dan membuka peluang dalam sektor perkhidmatan kewangan.
Rusia: Penipu curi puluhan juta dolar melalui pusat panggilan ditahan
Penipu yang mencuri puluhan juta dolar daripada penduduk lebih 20 negara melalui tiga pusat panggilan telah ditahan di Moscow.
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang menteri Afghanistan terbunuh dalam letupan
Seorang menteri utama dalam pentadbiran sementara Taliban Afghanistan terbunuh pada Rabu dalam letupan di ibu negara Kabul.
Atasi gejala Long COVID menerusi senaman - Pakar
Gejala long COVID boleh menjejaskan kualiti hidup seseorang jika tidak ditangani dengan baik.
30-40 peratus pesakit 'long COVID' kembali bekerja dalam tiga bulan - Khairy
Seramai 30 hingga 40 peratus pesakit COVID berpanjangan (Long COVID) di Malaysia dapat kembali bekerja dalam tempoh tiga bulan selepas dijangkiti COVID-19, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Waspada risiko diabetes bagi kanak-kanak dijangkiti COVID-19
Hingga kini pelbagai kajian masih dijalankan termasuk bagi mengenal pasti kesan COVID-19 terhadap mereka yang dijangkiti.
Individu divaksinasi kurang alami 'long COVID' - Agensi kesihatan UK
Kesimpulan itu hasil daripada semakan baharu 15 kajian oleh Agensi Keselamatan Kesihatan United Kingdom (UKHSA) yang dikeluarkan pada Selasa.
Anak-anak perlu divaksin untuk elak kesan 'long COVID', MIS-C
Risiko kanak-kanak menerima kesan berpanjangan yang dikhuatiri melarat sehingga membawa maut boleh dielakkan dengan vaksinasi.
COVID-19: 37 peratus pesakit alami simptom 'long COVID' - Kajian
Gejala yang biasa termasuk masalah pernafasan, keletihan, kesakitan dan kegelisahan.
Derita COVID-19: Fazli Zainal imbas tragedi hitam, akui ralat lewat divaksinasi
"Saya tak tahu yang kalau saya tak divaksin kesannya seteruk sekarang ini dan itulah perkara yang membuatkan saya ralat sekarang."