KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menetapkan sehingga 50 peratus medium pengajaran dalam Bahasa Inggeris bagi peringkat awal persekolahan menerusi Kurikulum Persekolahan 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu diambil bagi memperkukuh penguasaan dwibahasa di samping menangani isu keciciran pembelajaran sejak peringkat asas.
"Intervensi telah kita lakukan. Sebab itu nanti kita akan maknanya kita boleh kongsikan pun data-data selepas intervensi yang kita lakukan untuk keciciran pembelajaran itu.
"Yang kedua, kita juga sedang melaksanakan kurikulum baru 2027. Jadi, back to the basics kurikulum baharu ini. Membaca, menulis, mengira dan menaakul. Maksudnya, back to the basic. Sebab itu, kurikulum baharu ini kita mulakan daripada awal. Prasekolah lagi kita dah tekankan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dalam sesi soal jawab sempena Forum Ilmuwan Malaysia MADANI Siri 13 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, di sini pada Rabu.
Menjawab pandangan mengenai keperluan penguasaan Bahasa Inggeris di sekolah, Fadhlina mengesahkan peratusan penggunaan bahasa tersebut telah dinaikkan dalam kerangka kurikulum berkenaan.
"Ia sudah selesai kerana kami memulakan kurikulum baru dengan sekolah lebih awal. Jadi 50% daripada medium pengajaran adalah dalam bahasa Inggeris. Ini adalah kurikulum baru. Kami akan mengambil Bahasa Inggeris untuk kurikulum baru juga," jelas Fadhlina.
Beliau turut menjelaskan mengenai fungsi Matriks Pembelajaran yang diperkenalkan bagi menggantikan ujian lama seperti UPSR.
"Matriks pembelajaran ini adalah pengukuran melihat bagaimana anak kita boleh membaca, menulis dan mengira. Ia adalah pengukuran, bukan peperiksaan," tambah beliau.
Mengulas perkara tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahasa kebangsaan dan Bahasa Inggeris kedua-duanya penting tanpa perlu dipolitikkan.
"Bahasa Melayu mesti dimartabatkan dan diangkat sebagai bahasa ilmu... Tapi penguasaan bahasa Inggeris sangat kritikal untuk masa depan anak-anak kita. Dia peringkat mana, itu pedagogi bagaimana, itu biar pakar-pakar yang menentukan.
"Bila orang politik dia campur banyak sangat tentang nak tentukan kurikulum, itu yang menjadi menimbulkan kerosakan seperti kita alami dulu," tegas Anwar.
Beliau berkata, Kerajaan komited memastikan pelaksanaan kurikulum baharu itu berjalan lancar demi membina asas pendidikan yang kukuh buat generasi akan datang.