KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerusi Program Pembangunan Vendor (PPV) memperuntukkan RM33.5 juta untuk membantu memperkasa syarikat bumiputera bermula 2021 hingga tahun lepas.

Timbalan menteri berkenaan Datuk R Ramanan berkata antara inisiatif dilaksanakan ialah Geran Penyelidikan dan Pengkomersialan Vendor (GPPV) berjumlah RM22.5 juta.

"Inisiatif ini bertujuan meningkatkan penyertaan vendor bumiputera dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dan sebanyak 43 syarikat vendor bumiputera PPV telah menerima manfaat tersebut.

"Menerusi Program Pembangunan Kapasiti Vendor (PPKV) yang bertujuan meningkatkan keupayaan vendor bumiputera melalui pensijilan, akreditasi, penarafan dan pembangunan kapasiti, sebanyak 64 syarikat vendor bumiputera PPV telah menerima manfaat dengan peruntukan RM10.5 juta," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ramanan berkata kementerian pada 2022 memberikan Insentif Potongan Cukai Dua Kali (DDTI) kepada syarikat anchor PPV bagi perbelanjaan untuk pembangunan program vendor bumiputera sehingga RM500,000.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan William Leong (PH-Selayang) yang ingin mengetahui keberkesanan inisiatif Program Pembangunan Pembekal Bumiputera dan langkah yang diambil dalam memastikan proses tender kerajaan dilaksanakan dengan adil dan saksama.

Ramanan menjelaskan Program Pembangunan Pembekal Bumiputera yang diwujudkan semula pada 2018, bukan di bawah KUSKOP namun kementerian itu membantu syarikat bumiputera menerusi PPV.

"Berdasarkan program yang telah dijalankan di bawah PPV, kira-kira 1,303 syarikat telah diberi bantuan antaranya sektor automotif lebih daripada 100 syarikat, pengangkutan (60) dan minyak dan gas (28).

"Tenaga dan utiliti (400), telekomunikasi (100), farmaseutikal dan peranti perubatan (80), hartanah dan perladangan (322), perkhidmatan (201), makanan dan minuman (12) dan setiap permohonan vendor perlu melalui proses pemilihan dan pembentangan (pitching) menerusi KUSKOP," katanya menjawab soalan tambahan William.

William ingin tahu mengenai strategi dan pendekatan baharu KUSKOP dalam program tersebut dan apakah cara yang digunakan untuk memilih syarikat vendor bumiputera berkenaan.

-- BERNAMA