KUALA LUMPUR:Jumlah kutipan zakat yang dikendalikan oleh Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dan berakhir pada Disember 2020 amat memberangsangkan kerana berjaya melepasi sasaran yang telah ditetapkan.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Ali Tan Sri Syed Abbas Alhabshee berkata, beliau amat berbangga dan berterima kasih kepada pembayar zakat yang telah menunaikan tanggungjawab mereka.

Bagaimanapun jelasnya, pengumuman rasmi jumlah kutipan zakat PPZ- MAIWP yang melepasi sasaran 2020 itu, akan diumumkan secara rasmi oleh Syed Ali setelah beliau dan Pengerusi MAIWP, Datuk Seri Syed Hussein Alhabshee mempersembahkan laporan tersebut kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

"Dalam suasana sukar sekarang ini ekoran penularan pandemik COVID19 di negara kita, PPZ-MAIWP telah berjaya melepasi sasaran yang ditetapkan dan kutipannya meningkat berbanding tahun sebelumnya.

"Saya amat berterima kasih dan menghargai khidmat serta kerjasama seluruh tenaga kerja PPZ-MAIWP yang menjayakan kutipan zakat sepanjang tempoh 2020," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.

BACA: PPZ-MAIWP sasar kutipan zakat 2020 lebih RM700 juta

BACA: 
PPZ-MAIWP seru tunaikan zakat, bantu asnaf

Sebelum ini, PPZ-MAIWP mensasarkan jumlah kutipan zakat tahun ini mencecah RM700 juta.

Keyakinan itu berdasarkan kepada jumlah kutipan zakat PPZ-MAIWP setakat ini yang melebihi RM690 juta, berbanding RM682.2 juta pada tahun 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff sebelaum ini berkata,PPZ-MAIWP menyediakan lima saluran pembayaran zakat sempena Kempen Year End Zakat (YEZ).

Saluran pembayaran zakat berkenaan adalah menerusi 10 kaunter PPZ-MAIWP, portal PPZ-MAIWP, Skim Potongan Zakat Bulanan, dari pintu ke pintu (door to door) dan ejen-ejen kutipan zakat.