MALAYSIA
KWSP daftar automatik pekerja bukan warga Malaysia mulai Oktober 2025

KWSP berkata langkah berkenaan bertujuan mengelak keperluan untuk pekerja hadir ke pejabat KWSP dan majikan dapat mengesahkan butiran pendaftaran pekerja masing-masing secara dalam talian melalui akses kemudahan i-Akaun (Majikan). - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pendaftaran ahli daripada kalangan pekerja bukan warganegara Malaysia yang juga pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian akan dilaksanakan secara automatik bermula Oktober 2025, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Ringkasan AI
- Bermula Oktober 2025, pendaftaran pekerja asing pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara dan Pas Penggajian ke KWSP akan dibuat secara automatik.
- Majikan boleh mengesahkan dan mengemas kini maklumat pekerja melalui i-Akaun (Majikan) serta perlu memastikan caruman dua peratus dibayar setiap bulan.
- Syarikat yang belum berdaftar wajib berbuat demikian, manakala pekerja yang tamat pas kerja disaran memohon pengeluaran simpanan sebelum meninggalkan negara.
"Mereka (majikan) perlu membuat janji temu melalui pautan URL dalam surat notis bagi pekerja yang gagal didaftarkan secara automatik serta bagi tujuan kemas kini maklumat dan pengesahan cap ibu jari pekerja yang berjaya didaftarkan," katanya.
Menurut dana persaraan itu, bagi ahli pemegang pas lain, usaha pendaftaran dan kemas kini rekod boleh dilaksanakan di cawangan KWSP di serata negara.
Majikan juga, katanya, boleh terus membayar caruman menggunakan nombor KWSP diberikan dan bertanggungjawab memastikan caruman bulanan pekerja dipotong daripada gaji bulanan dan dibayar kepada KWSP pada atau sebelum 15 haribulan setiap bulan.
KWSP berkata dasar baharu berkuatkuasa pada 1 Oktober 2025 itu juga menetapkan semua syarikat yang belum berdaftar untuk berbuat demikian, mendaftar pekerja sebagai ahli manakala majikan serta pekerja masing-masing perlu mencarum sebanyak dua peratus daripada gaji pekerja.
"Majikan perlu mengemas kini dan menyimpan rekod penggajian pekerja untuk semakan KWSP, mengemas kini maklumat perhubungan, pertukaran nama dan status syarikat, memaklumkan penamatan operasi atau pemberhentian kesemua pekerja.
"Selain itu, majikan hendaklah menasihatkan pekerja untuk memohon Pengeluaran Meninggalkan Negara dalam tempoh dua bulan sebelum tamat pas jika tidak bercadang menyambung pas kerja terbabit serta memastikan dokumen sokongan bagi semua pengeluaran yang layak telah disahkan, lengkap dan teratur," katanya.
Bagi mendapatkan maklumat lanjut, majikan dan pihak berkepentingan boleh merujuk halaman khas di laman web KWSP : Caruman Untuk Pekerja Bukan Warganegara Malaysia - KWSP Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami