KUALA LUMPUR:Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di seluruh Sabah mulai Selasa, 13 Oktober, 2020 hingga dimaklumkan kelak, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri tersebut.

"Kesihatan dan keselamatan ahli serta anggota KWSP tetap menjadi keutamaan. Segala kesulitan amatlah dikesali," kata KSWP dalam satu kenyataan dikeluarkan pada Isnin. 

Cawangan KWSP yang terlibat dalam penutupan sementara ini ialah Beaufort, Keningau, Kota Kinabalu, Kota Marudu, Kudat, Lahad Datu, Sandakan ialah Tawau.

Justeru itu, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke semua pejabat dan kaunter KWSP di seluruh negeri Sabah akan dibatalkan serta merta.

"Ahli yang telah membuat janji temu di semua pejabat KWSP di negeri Sabah yang dijadualkan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan pergerakan itu tamat," kata KWSP.

Ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP, iaitu iAkaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), ia beroperasi seperti biasa, katanya.

KWSP berkata pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter.

Untuk penjelasan lebih lanjut, ahli dan orang ramai hubungi Pusat Pengurusan Pelanggan di talian 03- 8922 6000.

"Pada masa yang mencabar ini, KWSP komited untuk terus memberi perkhidmatan kepada ahli di cawangan atau saluran digital," kata KWSP.

-- BERNAMA