KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan dividen Simpanan Konvensional sebanyak 5.20 peratus selepas mencatatkan prestasi kukuh dalam operasi dan kewangan bagi tahun 2020.

Kadar dividen bagi Simpanan Shariah pula ialah pada 4.90 peratus.

Agihan dividen ialah sebanyak RM47.64 bilion, iaitu RM42.88 bilion bagi Simpanan Konvensional dan RM4.76 bilion bagi Simpanan Shariah.

Pengerusinya Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir dalam kenyataan pada Sabtu berkata KWSP berjaya mencatat prestasi memberangsangkan untuk tahun 2020 walaupun mengharungi situasi tidak terjangka ketika dunia berhadapan krisis berkembar iaitu krisis kesihatan dan ekonomi.

"Dengan purata lima tahun dividen sebenar pada kadar 4.62% untuk Simpanan Konvensional dan 4.32 peratus bagi Simpanan Shariah selepas diselaraskan untuk inflasi, KWSP telah melebihi sasaran strategik dengan pengisytiharan purata dividen sebenar tidak kurang daripada 2.00 peratus dalam tempoh lima tahun berturut-turut," katanya dalam Laporan Kewangan KWSP Tahun 2020 pada Sabtu.

KWSP umum dividen 5.2 peratus dengan jumlah agihan RM47.64 billion

Jelas Ahmad Badri lagi, meskipun berdepan dengan situasi tidak terjangka apabila pandemik COVID-19 melanda negara, KWSP ujarnya tidak terlepas daripada terpaksa membuat keputusan sukar.

“Tindak balas pantas KWSP dalam mengadaptasi strategi dan proses pelaburan telah berjaya memastikannya mampu mencapai prestasi yang optimum.

"Kami juga akan terus memanfaatkan kekuatan kira-kira 250 anggota pelabur profesional KWSP yang komited dan proaktif dalam menguruskan portfolio pelaburan.

"Kerjasama kukuh dan infrastruktur digital yang mantap juga telah melancarkan proses penyesuaian diri kami dengan norma kerja yang baharu." katanya lagi.