KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan mendekatkan rakyat dengan pihak yang bertanggungjawab terhadap isu infrastruktur yang memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Timbalan Ketua (Strategi) Ibu Pejabat Asia UNSDSN, Universiti Sunway, Prof. Wong Chin Huat berkata, dengan langkah ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen boleh beralih kepada isu-isu dasar yang lebih signifikan.

“Maka, dengan adanya pilihan raya Kerajaan Tempatan apa yang akan berlaku ialah Ahli Majlis yang dipilih akan laksanakan kerja dan kurang rungutan serta aduan. Memandangkan mereka akan menyelesaikan isu-isu yang sekarang ini diadukan kepada ADUN.

Seterusnya, ADUN akan laksanakan kerja lain. Apabila PBT buat kerja, maka Ahli Parlimen boleh beri tumpuan kepada isu yang lebih besar berkaitan dasar negara, persaingan antarabangsa dan pemanasan global. Bukannya, beri tumpuan kepada isu kawasan; jalan rosak dan jambatan patah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.


Jelas Chin Huat, orang awam lebih mudah mendekati ADUN dan Ahli Parlimen untuk menyelesaikan isu-isu infrastruktur awam kerana wakil-wakil rakyat ini diundi secara langsung.

Oleh yang demikian, menurutnya, rakyat merasakan wakil-wakil rakyat ini berhutang dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya kepada kualiti kehidupan komuniti setempat.

Pada masa sama, Chin Huat mencadangkan agar bidang kuasa Kerajaan Tempatan ditambah untuk memenuhi fungsinya dengan sempurna.

“Kalau kita bincang tentang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sememangnya kita perlu laksanakan pengubahsuaian kepada sistem sedia ada kerana Kerajaan Negeri mempunyai kuasa yang terlalu sedikit.

“Sebagai contoh, kalau kita lihat Australia, Kanada dan sebagainya, pendidikan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Jadi Kerajaan Negeri bersaing dan hasilnya kita lihat rakyat Malaysia mendaftar untuk sijil pendidikan dari Kanada dan Australia, kerana persaingan membawa kepada peningkatan mutu,” ujarnya.