KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) di peringkat tempatan penting dalam usaha mencapai Agenda Pembangunan Mampan menjelang 2030 (Agenda 2030), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Dalam kenyataan dikeluarkan Wisma Putra pada Isnin, beliau berkata ketika dunia sedang berusaha pulih daripada kesan pandemik COVID-19, Malaysia serta negara jiran perlu bekerjasama dan meningkatkan komitmen masing-masing dalam melaksanakan matlamat itu.

Menurut Mustapa peranan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) dan The Malaysia CSO SDG Alliance juga diiktiraf dalam usaha menjalinkan kerjasama lebih kukuh antara Ahli Parlimen, kerajaan negeri dan tempatan serta masyarakat bagi melaksana 121 projek penyelesaian di peringkat tempatan di 30 kawasan Parlimen.

Mustapa berkata demikian ketika berucap dalam program sampingan sempena Forum Politik Peringkat Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai SDGs bertajuk "Building Back Better in Localising SDGs: A Case Study of Malaysia and Three Southeast Asian Country Experiences of the Partnership Model", di Ibu Pejabat PBB, New York pada Isnin.

Program sampingan diadakan secara maya anjuran Kementerian Luar dan Unit Perancang Ekonomi dengan kerjasama APPGMSDG itu disertai Malaysia, Indonesia, Filipina dan Thailand bagi berkongsi pencapaian cabaran amalan terbaik negara masing-masing dalam melaksana SDGs serta usaha mencapai Agenda 2030.

Pelaksanaan SDGs di peringkat tempatan merujuk kepada proses mentakrif, melaksanakan dan memantau strategi di peringkat tempatan untuk mencapai matlamat global, nasional dan subnasional di bawah Agenda 2030.

Dalam kenyataan sama, Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah ketika ucapan penutup program itu menekankan pentingnya peranan dan kerjasama pihak berkepentingan termasuk badan kerajaan, swasta dan masyarakat sivil dalam menangani isu berkaitan pembangunan mampan.

"Ini termasuk isu kemiskinan dan ketidaksamaan, perubahan iklim, serta diskriminasi jantina, etnik atau kelas melalui agenda inklusif yang jelas terutamanya dalam mendekati kumpulan rentan dalam usaha pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan di peringkat tempatan," katanya.

Forum Politik Peringkat Tinggi PBB mengenai Matlamat Pembangunan Mampan merupakan platform utama PBB yang memainkan peranan penting dalam tindakan susulan, semakan dan penilaian Agenda Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di peringkat global.

-- BERNAMA