IPOH: Laluan lebuh raya arah utara antara Ipoh ke Terowong Menora telah dibuka sepenuhnya kepada semua kenderaan bermula jam 4.15 petang pada Ahad.

Pembukaan itu selepas kerja-kerja pembersihan jalan selesai akibat sebuah treler muatan serbuk besi yang terbalik.

PLUS Malaysia Berhad menerusi aplikasi X memaklumkan, aliran trafik kedua-dua arah masih sesak.

"Laluan kontra telah dinyahaktifkan. Pengguna diminta merancang perjalanan bagi memastikan keadaan laluan lancar," katanya.

Sebelunm itu, Sinar Harian melaporkan, sebuah treler membawa muatan serbuk besi terbalik di Kilometer 262.9 Lebuhraya Utara Selatan arah utara mengakibatkan semua laluan antara Ipoh ke Terowong Menora terhalang.

Aliran trafik tidak bergerak bermula jam 4.52 pagi menyebabkan laluan kontra diaktifkan di Kilometer 262.65 hingga Kilometer 263.75 bagi mengurangkan kesesakan.

Kejadian bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa. - Sinar Harian