PELABUHAN KLANG: Laluan menghubungkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) stesen Masjid Jamek dan stesen Bandaraya di ibu negara akan ditutup selama dua minggu bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan struktur jejambat LRT itu yang mengalami keretakan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, kerja-kerja pembaikan itu akan dilaksanakan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kadar segera.

"Kedua-dua stesen ini tidak ditutup cuma laluan menghubungkan kedua-duanya sahaja ditutup," katanya dalam sidang media selepas merasmikan gudang Infinity Freight Village 5 di sini, pada Rabu.

Menurut Anthony, dalam tempoh itu, orang ramai boleh menggunakan  'shuttle bus' yang disediakan bagi menghubungkan kedua-dua stesen itu.

"Proses pembaikan ini melibatkan dua fasa iaitu fasa pendek dalam tempoh dua minggu untuk dipastikan ada pembaikan dan struktur selamat digunakan, manakala fasa panjang adalah bagi memastikan struktur itu kukuh," jelasnya.

Beliau memberitahu, laluan kedua-dua stesen itu akan dibuka semula apabila pihak berkenaan memastikan perkhidmatan itu selamat kepada orang ramai.

"Kita tiada pilihan kerana ini membabitkan isu keselamatan. Jadi, saya memohon maaf kepada pihak penumpang," katanya.

Sebelum ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan, memberitahu terdapat kerosakan struktur jejambat berhampiran stesen tersebut akibat daripada kerja pembinaan bersebelahan kawasan itu.