KUALA LUMPUR :Selain laman web Angkatan Tentera Malaysia (ATM), penggodam mungkin boleh menyasarkan beberapa laman web penting seperti Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sistem berkaitan kesihatan.

Justeru, sistem keselamatan di Malaysia perlu sentiasa bersedia malah bergerak seiring teknologi terkini bagi memastikan penggodam sukar menceroboh sistem mereka.

Pensyarah Pengajian Sekuriti dari Naif Arab University for Security Sciences (NAUSS), Profesor Madya Dr Mohd Mizan Mohammad Aslam berkata, beliau yakin kerajaan mempunyai sistem yang baik namun ia perlu ditambah baik secara berkala.

“Kita lihat negara sebesar, sehebat Amerika Syarikat dan Singapura juga diceroboh sistem keselamatan mereka dan perkara itu boleh berlaku kepada negara kita. Kita harus lebih bijak dan terkedepan dalam mengawal sistem keselamatan negara.

“Antaranya mengadakan kerjasama strategik dengan pihak-pihak luar termasuk AS, China dan lain-lain. Jangan kita berkonflik dan jangan bergantung kepada satu penyedia sistem keselamatan sahaja.

“Malah kita mampu pergi setapak lagi dengan menggaji ‘hackers’ untuk bekerjasama dengan pihak kita sebab mereka tahu kelemahan kita dan ambil mereka bekerja, mereka mampu selamatkan sistem kita secara tidak langsung,” katanya kepada Astro AWANI, di sini hari ini. 

Tambahnya, beliau tidak menolak isu penggodaman yang berlaku kepada ATM ada kaitan dengan pengganas.

Jelasnya, aktiviti keganasan pada waktu sekarang semakin berkembang malah sudah semakin maju dengan menggunakan pelbagai teknologi terkini.

“Malah mereka juga ada terlibat dengan dark webbitcoin dan dalam banyak perkara. Kalau perkara itu boleh dilakukan, maka tak mustahil mereka boleh lakukan penggodaman.

“Mereka juga amat mahir dalam menggunakan platform yang disifatkan selamat dan mereka juga mampu untuk memiliki ‘hackers’ yang baik untuk godam mana-mana malah mereka juga boleh bayar pihak berkaitan untuk lakukan kerja mereka,” ujarnya.

Semalam, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Datuk Seri Affendi Buang dalam kenyataan pada Selasa mengesahkan portal rasmi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diserang oleh penggodam.

BACA: Serangan siber terhadap ATM, ini yang perlu anda tahu

BACA: ATM sahkan portal rasmi digodam


Serangan siber: ATM sahkan portal rasmi digodam

Cubaan menggodam itu telah dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM.


Serangan siber: ATM sahkan portal rasmi digodam

Serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal sebenar sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi.

Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data bagi tujuan mengaburkan lokasi sebenar data-data berdarjah seterusnya melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam.