KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat ke Dataran Parlimen pagi ini untuk menghadiri Istiadat Keberangkatan Balik bersempena dengan tamat tempoh pemerintahan.

Ketibaan Seri Paduka berdua di Dataran Parlimen diiringi tiupan nafiri oleh 22 anggota Skuadron Istiadat Berkuda yang berpangkalan di Kem Sungai Buloh, Selangor, diketuai Sarjan Ismail Katirin.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah disambut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan isteri Datin Seri Ruziah Mohd Tahir.

Seri Paduka berdua kemudian diiring ke Pentas Diraja, melintasi Pasukan Pengawal Tombak diikuti persembahan tabik Hormat Diraja daripada pasukan Kawalan Kehormatan Utama, disusuli lagu Negaraku oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Leftenan Muhammad Fauzee Japar.

Serentak itu, bendera peribadi Yang di-Pertuan Agong direndahkan, diikuti tembakan meriam sebanyak 21 das oleh pasukan 41 Bateri Rejimen Artileri Diraja (Istiadat).

Seri Paduka kemudian berkenan memeriksa pasukan Kawalan Kehormatan Utama yang terdiri daripada 103 anggota dan empat pegawai daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Adibadiuezshah Ahmad.

Istiadat negara itu diteruskan dengan bacaan doa oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Prof Madya Dr Luqman Abdullah, disusuli persembahan tabik "Hormat Diraja" kali kedua serta lagu Negaraku.

Seri Paduka berdua selepas itu berkenan untuk bersalaman dengan barisan Jemaah Menteri, Ahli-ahli Parlimen, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan serta perwakilan asing.

Usai acara itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut mengambil kesempatan melambai kepada tetamu yang hadir selain dilihat mengangkat tangan dan menyentuh dada kiri sebagai tanda terima kasih.

Istiadat Keberangkatan Balik Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri disiarkan secara langsung di saluran RTM, selain turut disiarkan menerusi televisyen tempatan dan media sosial.

Seri Paduka berdua meninggalkan Dataran Parlimen pada 9.20 pagi untuk berangkat ke Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang.

Semasa kenderaan yang membawa Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah melalui Jalan Parlimen, lebih 3,000 rakyat daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk penjawat awam dan kakitangan swasta berbaris di kiri dan kanan jalan memberikan lambaian bagi mengucapkan selamat jalan kepada Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah. - BERNAMA