Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot pada Selasa menarik perhatian terhadap lambakan pekerja asing dalam negara ketika ini iaitu kira-kira 5.8 juta orang.

Katanya, hanya separuh daripada jumlah itu, atau kira-kira 2.9 juta ialah pekerja sah, dan ini merupakan situasi yang agak merisaukan.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas taklimat mengenai Human Capital Development Strategic Reform Initiatives.

Sehubungan dengan itu, beliau menggesa rakyat di negara ini agar mengikis sikap memilih pekerjaan atau hanya mahu bekerja di sektor awam.

Riot berkata Malaysia menyediakan begitu banyak peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, namun adalah menyedihkan kebanyakannya diisi oleh pekerja asing.

Beliau berkata bekerja di kira-kira 600,000 syarikat Industri Kecil dan Sederhana merupakan antara peluang kerjaya yang boleh dicuba rakyat tempatan.

Sementara itu, beliau menyeru orang ramai menghadiri Fiesta Kerjaya JobsMalaysia Dan Azam Kerja 1Malaysia 2014 Peringkat Kebangsaan di Mid Valley Exhibition Centre mulai 5 hingga 7 Sept untuk merebut 10,000 kekosongan jawatan pelbagai sektor.

Antara aktiviti di majlis itu ialah temuduga terbuka, pameran kerjaya, ceramah bimbingan kerjaya dan pendaftaran Online JobsMalaysia dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.