KUALA LUMPUR: Pemilihan Pulau Langkawi sebagai projek rintis pembukaan sektor pelancongan domestik memberi ruang perniagaan kepada pemain industri yang selama ini terjejas akibat pandemik COVID-19 untuk bermula semula.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukry berkata, pembukaan itu mengatasi kerisauan pekerja yang hilang punca pendapatan selain hotel yang ditutup akibat ketiadaan pelanggan.

"Kita serba salah, satu kena lihat dari faktor ekonomi, satu lagi dari segi nilai kehidupan orang, untuk hidup. Kita takut apabila ada COVID-19, macamana keadaan mereka. Sebab itu kita kehendaki mereka perlu lengkap dua dos vaksin untuk pergi ke mana-mana.

"Begitu juga hotel, mereka mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang begitu ketat sekali, jadi mereka tidak mahu nama mereka terjejas.

"Sama juga dengan penerbangan, mereka hendak menjaga persepsi atau imej mereka. Mereka tidak mahu kalau ada kluster. Ini yang kita tekankan kepada semua pihak untuk mereka mula membuka perniagaan mereka," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi hari ini.

BACA: Langkawi jadi perintis gelembung perjalanan bermula 16 Sept - PM

BACA: Pembukaan sektor pelancongan mampu bangunkan semula industri - Nancy

Sebelum ini, Nancy menjelaskan, Pulau Langkawi mempunyai kekuatan tersendiri seperti mempunyai rangkaian penerbangan domestik dan antarabangsa, serta mempunyai kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai segmen pelancong.

Dalam pada itu katanya, pihaknya terpaksa memberi notis awal kepada pemilik hotel untuk persediaan sebelum membuka kembali perniagaan masing-masing.

Jelasnya, tempoh itu termasuk memberi masa kepada syarikat penerbangan yang perlu menjalani SOP pemeriksaan terperinci sebelum menerima penumpang

Bagaimanapun ujarnya, semua isu SOP akan dipamerkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihaknya tidak bertanggungjawab dari segi mengeluarkan prosedur berkenaan.

Namun katanya, MOTAC menyumbang kepada prosedur yang diperlukan termasuk SOP kanak-kanak di bawah umut 18 tahun yang belum divaksin.

Nancy turut memaklumkan, beberapa pulau lain juga sudah mencapai imuniti kelompok seperti 100 peratus di Pulau Rawa di Mersing, Johor.

Selain pulau, beliau juga difahamkan, populasi di Genting juga akan mencapai 97 peratus divaksin pada 10 September ini.

Dalam pada itu katanya, pembukaan sektor pelancongan adalah permintaan industri sendiri kepada kementeriannya.

Jelasnya, kementeriannya turut memberi insentif seperti baucar diskaun hotel, penerbangan dan membeli barang-barang dari kraftangan.

"Tetapi terpulang kepada orang ramai, kalau rasa takut, itu terpulang kepada masing-masing sebab saya difahamkan, pada masa ini ada orang sudah mula pergi berkelah di kawasan tidak jauh dari mereka, dalam negeri sendiri.

"Jadi ini menunjukkan keghairahan penduduk kita untuk keluar dari rumah, cuma ingatan kita ialah supaya mereka ini ingat bahawa mereka perlu patuhi SOP, itu yang penting. SOP yang utama adalah vaksinasi lengkap," tambah Nancy.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik bersetuju untuk membuka sektor pelancongan di beberapa destinasi di bawah program gelembung pelancongan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

Ismail Sabri berkata sebagai permulaan, Langkawi telah dipilih sebagai projek rintis untuk dibuka kembali kepada pelancong tempatan bermula 16 Sept ini manakala destinasi pelancongan lain akan dibenarkan beroperasi apabila kadar vaksinasi lokaliti mencapai 80 peratus.